Penganalisis: PRU15: 'Orang Cina takkan undi BN walau kecewa PH'

Malaysiakini 

Pengundi Cina tidak akan mengundi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun kecewa dengan Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis politik.

Pun begitu, kata Profesor Wong Chin Huat, BN masih boleh meraih kembali sokongan pengundi Cina jika parti itu dapat berubah dan mewujudkan unsur positif.

"Jika BN tak dapat transformasi dirinya ia tidak akan dapat tarik sokongan Cina. Kalau tak dapat cari unsur positif terhadap pengundi Cina.

"Walaupun masyarakat Cina hampa pada PH sekali pun, dia tak akan undi BN.

"Mereka akan duduk di rumah (tak keluar mengundi)," katanya.

Ahli sains politik itu berkata demikian pada sesi perbincangan berjudul "road to PRU15| episod 1: trend pengundi Cina" yang disiarkan di Facebook 02 Malaysia, malam tadi.

Bagaimanapun kata Wong, kini BN mula dilihat sedikit berubah dan tidak lagi menggunakan "ketakutan" terhadap orang Melayu bagi menarik sokongan.

Ini, katanya dapat dilihat apabila pemimpin Umno bersuara mempertahankan kebebasan media ketika Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman denda RM500,000 terhadap Malaysiakini berhubung komen menghina oleh pembacanya.

"Bila Malaysiakini kena hukuman mahkamah (Timbalan Presiden Umno) Mohamad Hasan bela kebebasan akhbar.

"Ini yang tak pernah lihat sebelum ini. BN kita lihat dia cuba ubah, hendak posisikan kembali partinya, ini satu perkembangan yang cukup baik," katanya lagi.

Prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan dimulakan oleh Peguam Negara Idrus Harun berhubung komen yang ditinggalkan oleh pembaca di portal ini.

Selain timbalan presiden Umno, bekas presidennya Najib Razak, Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi Mohd Razlan Rafii antara yang tampil mempertahankan Malaysiakini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon berpendapat pada PRU14 lalu, masyarakat Cina telah menolak BN secara total.

Bagaimanapun, dakwanya penolakan ini berlaku kerana tindakan DAP yang memainkan sentimen serta menyebarkan "ketakutan" terhadap masyarakat Cina di negara ini.

"Kejatuhan BN bukan disebabkan satu isu... tetapi ia juga didorong pendemokrasian media sosial dengan pelbagai propaganda dan banyak berita palsu.

"Kononnya kita masyarakat Cina kelas ketiga dan itu tak benar," katanya lagi pada sesi perbincangan malam tadi, .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan