PRU-15 makin dekat: Dari masjid ke gereja, Azmin sakan berkempen di Gombak

FAZLI RADZI 

PRU-15 makin dekat: Dari masjid ke gereja, Azmin sakan berkempen di Gombak

Demam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hampir. Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan sokongan hanya 109 kerusi Parlimen dilihat memanfaatkan tempoh darurat ini dengan turun ke lapangan.

Walaupun sebelum ini, kerajaan PN sendiri mengingatkan larangan terhadap semua aktiviti majlis sosial dan keramaian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi lain pula pematuhannya di pihak menteri.

Ketika proses perundangan Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh darurat, wakil rakyat PN dilihat bebas mengadakan majlis pertemuan.

Pada masa rakyat di negeri terbabit PKP dilarang mengadakan majlis perkahwinan, doa selamat, sambutan hari lahir, kursus, persidangan, ceramah, dan mesyuarat secara bersemuka, wakil rakyat dilihat boleh mengadakan majlis pertemuan dengan pengundi.

Gerak kerja Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali contohnya untuk semalam dan hari ini boleh dianggap petunjuk PRU-15 makin dekat.

Ketika lensa media dan rakyat tertumpu pada ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, Azmin sejak semalam lagi sakan ‘berkempen’ di Parlimen Gombak yang disandangnya. 

Azmin dilihat sudah merancakkan kempen PRU-15.

Pengarah Pilihan Raya PN berkenaan menyerahkan sumbangan kepada pihak Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves selepas menunaikan Solat Asar di masjid itu semalam.

Bekas pemimpin PKR yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH) tersebut turut menyerahkan sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dalam satu majlis ringkas.

“Melalui ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) Negeri Selangor, kelulusan telah diberikan untuk menaiktaraf PA sistem masjid sebanyak RM100,000 dan RM3.85 juta untuk pembinaan dua blok tiga tingkat bagi Sekolah Agama Rakyat KAFA Integrasi Al-Amaniah.

“Projek-projek ini akan diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor berdasarkan kepada peraturan semasa kerajaan yang berkuatkuasa,” jelasnya.

Dengan berbaju Melayu putih dan berseluar hitam yang sama dikenakannya ketika melawat masjid, Azmin juga menyerahkan sumbangan kepada Persaudaraan Gereja-Gereja Daerah Gombak di Selayang Baru.

“Saya berharap dengan sumbangan kecil ini dapat membantu mereka menguruskan aktiviti-aktiviti di Gombak,” katanya tanpa mengenakan songkok dalam gambar yang turut dikongsikan di Facebooknya.

Hari minggu ini pula, Azmin yang telah dicop pihak Pakatan Harapan (PH) sebagai pengkhianat ekoran Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu “gembira dapat bertemu dengan sebahagian dari keluarga besar” di Kampung Klang Gate.

“Di sinilah tempat saya membesar dan saya bersyukur penduduk di sini banyak memberikan sokongan kepada saya di Gombak,” katanya.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kemudiannya meneruskan sumbangan prihatin kepada persatuan-persatuan, masjid, surau dan sekolah di sekitar Gombak untuk menaiktaraf kemudahan awam di tempat masing-masing.

“Saya berharap dengan sumbangan bagi tujuan pembangunan ini dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat,” ujarnya.

Azmin hari ini singgah di Surau Darul Hidayah, Taman Pinggiran Batu Caves untuk menyampaikan sumbangan.

Selepas menyampaikan sumbangan, walaupun cuaca panas terik hari ini, Azmin turut meninjau kerja-kerja membina semula Masjid Kampung Klang Gate yang katanya, hampir selesai.

“Sangat terharu apabila diberikan peluang, dapat saya usahakan satu masjid yang baru buat penduduk Kampung Klang Gate.

“Apabila ancaman Covid-19 ini berakhir, marilah kita bersama mengimarahkan surau-surau dan masjid-masjid,” kata Azmin.

Dia juga sempat singgah di Surau Darul Hidayah, Taman Pinggiran Batu Caves untuk menyampaikan sumbangan kepada Surau Darul Hidayah, Surau Al Ikhwan, Masjid Al Khairiyah dan JMB Flat Pinggiran Batu Caves di dalam satu majlis ringkas selepas Asar.

Selain itu, Azmin turut menyerahkan surat kelulusan pembangunan Dewan Terbuka kepada SK Sungai Pusu dan SMK Gombak Setia.

“Usaha pembangunan ini demi memastikan anak-anak di Gombak menerima tempat dan kemudahan yang terbaik untuk menimba ilmu,” katanya lagi.

Mencuba nasib

Pada PRU-14 tahun 2018 lalu, Azmin atas kapasiti sebagai calon PH ketika itu telah mendapat majoriti 48,721 undi.

Jumlah besar majoriti yang dikaut Azmin itu atas muafakat gabungan pembangkang melalui PH serentak dengan faktor Tun Dr Mahathir Mohamad serta imej kleptokrat yang terpalit pada Najib Razak sekali gus penyumbang besar tumbangnya BN.

Hasrat Azmin untuk bertanding sekali lagi di Gombak pada PRU-15 dilihat bakal menguji kesepakatan PN apabila Pas juga dilihat mahu meletakkan calon di situ.

Nama Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin dikatakan bakal disebut-sebut akan mencuba nasibnya sekali lagi di Parlimen Gombak pada PRU-15.

Khairil, 42, pada PRU-14 memperoleh 17,537 undi dalam pertandingan tiga penjuru itu.

Kalau mengikut keputusan PRU-14 di Gombak, jumlah undi Khairil dan calon BN jika dicampurkan sebanyak 43,929 undi.

Pada akhir bulan lalu, Khairil mencadangkan agar PN hanya memilih individu dengan rekod baik sebagai calon dalam PRU-15.

Kenyataan Khairul itu muncul ketika timbul kembali isu rakaman video intim yang didakwa membabitkan Azmin.

Bahkan, Khairil mengingatkan bahawa calon PN perlulah dilihat berintegriti serta mudah diterima rakyat dalam PRU-15.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan