NASUHA RAHMAN
Jika sebelum ini SOP kuarantin dikatakan sebagai SOP dua darjat kini program vaksinasi yang sedang berjalan turut dilabelkan sebagai dua darjat apabila barisan hadapan tidak diberi keutamaan.
Dr Rafidah Abdullah dalam posting di media sosial hari ini meluahkan rasa kecewa apabila barisan hadapan seperti petugas-petugas kesihatan yang mengandung, menyusukan bayi, pegawai-pegawai (contohnya farmasi) di lapangan, dan doktor-doktor gigi swasta tidak diberi vaksin terlebih dahulu.
Beliau memahami dan tiada halangan Perdana Menteri, Menteri Agama dan Menteri Besar mengambil suntikan vaksin terlebih dahulu sebagai tanda simbolik.
“Tapi dah kenapa pulak ahli-ahli Exco, Adun, menteri-menteri lain, kuncu-kuncu mereka nak vaksinasi awal? Maaf, kami petugas barisan hadapan tidak faham.
“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kenapa jadi pak mak turut ni? Tugas anda adalah menjaga kebajikan petugas-petugas kesihatan hospital, swasta dan komuniti bukan yang berdarjat,” katanya.
Beliau berkata, petugas bawahan tidak mampu faham amalan dua darjat sebaliknya hanya tahu pergi balik kerja, memakai PPE dan menyelamatkan nyawa manusia.
“Mana hak petugas-petugas kesihatan yang mengandung, menyusukan bayi, pegawai-pegawai (contohnya farmasi) di lapangan, doktor-doktor gigi swasta, kenapa tiada dalam senarai? Turunlah, berbincanglah dengan setiap seorang. Takkan keluarkan senarai sahaja.
“Kasihan mereka alih-alih nama terkeluar atau langsung tidak masuk senarai. Tambah terkejut, muncul nama-nama YB tidak dikenali.
“Nak bersuara, takut. Please, middle managers. Do what is right, get rid of these nonsense. Protect the people under you. I don’t think that’s too much to ask,” tulis beliau.
Beliau turut meminta netizen sarankan kepada pejabat MOSTI supaya keluarkan senarai nama dan tonjolkan siapakah yang divaksinasi terlebih dahulu daripada barisan hadapan.
“You can come, give us motivation during our vaccination. Bukan diri sendiri tersorong-sorong batang hidung dan lengan untuk ambil vaksin dahulu. Show that you care for us, and not for yourself. Let healthcare workers finish vaccination first.
“Jangan buang masa kipas orang yang ada darjat buatan manusia. Ketepikan golongan ini dahulu, kini dan (harapnya) selama-lamanya. Professionals work professionally,” katanya yang turut memberitahu masih belum ada tarikh vaksin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan