Anwar gesa bersiap, PRU15 bila-bila masa

FAZLI RADZI

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang berkenaan berharap persediaan yang sewajarnya diperbanyak bagi memenangi pertempuran menentang Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya.

“Saya menggesa semua untuk lipat gandakan usaha dan bersiap sedia mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan tiba pada bila-bila masa,” katanya di Twitter.

Semalam, Anwar dalam satu program parti bersama pimpinan dan anggota PKR Negeri Sembilan di Port Dickson.

Pada 4 Mac lalu, persiapan menuju PRU-15 menjadi antara isu yang turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Kerajaan PN yang terbentuk selepas Langkah Sheraton pada masa ini hanya mempunyai sokongan 109 ahli Parlimen dengan Umno hanya meneruskan kebersamaan sehingga pembubaran Parlimen.

Pada 5 Januari lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN melantik Pas menerajui empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN.

PRU-15 hanya akan diadakan apabila negara benar-benar pulih daripada pandemik Covid-19, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 27 Februari lalu.

Awal Januari lalu, Bersatu mendedahkan Muhyiddin merancang untuk mengadakan PRU-15 setelah pandemik Covid-19 berjaya diredakan dengan bekalan vaksin mula diagih kepada rakyat.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, hal tersebut diluahkan Muhyiddin sewaktu mengadakan mesyuarat khas MPT Bersatu pada malam 5 Januari lalu, dengan sasaran awal PRU-15 sepatutnya diadakan tahun lalu.

Bahkan, sebelum itu lagi, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 28 November tahun lalu berkata, PRU-15 akan diadakan sebaik pandemik Covid-19 berakhir.

Untuk PRU-15, Umno akan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN), manakala Bersatu dan Pas bertanding atas lambang PN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan