Kalau anak jantan letak jawatan menteri, kata Zahid
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencabar seorang menteri daripada parti itu agar meletakkan jawatan dalam kabinet.
Selain melabelkan pemimpin tersebut sebagai 'makkhluk perosak', Zahid juga mendakwa menteri berkenaan 'menikam' Umno dari belakang.
"Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu bahawa mereka yang ada di sana termasuk seorang menteri tapi tak ada di pentas ni tapi menikam Umno dari belakang.
"Kalau dia anak jantan dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak, kalau bukan kerana Umno tak mungkin dia ada dalam kementerian berkenaan," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, petang ini.
Meskipun Zahid tidak menamakan sesiapa, jelas ucapannya merujuk kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.
Umum mengetahui hubungan kedua-dua pemimpin itu "retak" selepas parti itu memecat Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.
Susulan pemecatannya, Annuar mendedahkan bahawa Zahid mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun Umno menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu tuduhan jahat.
Dalam pada itu, Annuar hari ini dalam temubual di Facebooknya menegaskan dia tahu kewujudan surat sokongan presiden Umno itu dan Zahid tidak perlu menafikannya.
'Ghanimah jadi kegelian maksimum'
Dalam pada itu Zahid secara sinis berkata menteri berkenaan "sedang geli secara maksimum" dengan jawatan yang disandangnya kini.
"Bila 'ghanimah' dan jawatan yang jadi kegelian maksimum, mereka harus sedar tanpa kita perwakilan dan akar umbi, kita tak kan rasa kedudukan sebagai menteri semula.
"Saya yakin rakan-rakan yang jadi menteri yang ada di atas pentas atau di bawah atau tak jadi perwakilan, saya amat yakin sesungguhnya mereka ahli parti, pendokong parti, orang yang setia pada parti," katanya lagi.
Terdahulu, Perhimpunan Agung Umno hari ini memberikan mandat kepada Zahid dan majlis tertinggi parti itu untuk menentukan bila tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional.
—-----------------------------
Apa guna setia pada Umno tapi bagi formula kalah, kata Annuar
Kesetiaan kepada parti harus diukur menerusi pemilihan strategi yang dapat memenangkan parti, bukannya menerusi sokongan kepada pihak tertentu semata-mata, kata bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa.
Katanya, ada pihak dikatakan setia meskipun memberikan formula yang boleh menyebabkan kekalahan parti, manakala mereka yang memberi formula kemenangan dituduh sebagai tidak setia.
“Pada saya, simple. Tidak ada perkara yang peribadi, ini hanya soal memilih satu strategi bagi menentukan parti kita menang. Ini cara kita melahirkan kesetiaan kita kepada parti.
“Kalau kita kata, ‘Oh, ini setia kepada parti’, tetapi kita bagi formula untuk parti kalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan