Dua maut, 3 parah dalam runtuhan jambatan Suke

Dua maut dan tiga lagi cedera parah dalam runtuhan jambatan lebuh raya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang (Suke) setelah sebuah treler merempuh struktur jambatan lebuh raya berkenaan kira-kira jam 6:15 petang tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, seramai lima mangsa terperangkap selepas van dinaiki mereka dihempap runtuhan.

Menurut kenyataan itu, mangsa pertama seorang lelaki berusia 47 tahun yang merupakan pemandu van berkenaan berjaya dikeluarkan pada jam 8.53 malam dan mengalami kecederaan parah.

Pihak bomba kemudian berjaya mengeluarkan dua wanita, masing-masing berumur 51 dan 54 tahun.

Pada jam 9.19 malam, mangsa keempat yang merupakan seorang wanita berumur 40an juga berjaya dikeluarkan, namun disahkan oleh petugas perubatan telah meninggal dunia.

Mangsa terakhir berumur 40an berjaya dikeluarkan pada jam 9.26 malam dan turut disahkan telah meninggal dunia.

Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Lokasi kejadian adalah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak menuju ke Ampang.

Ia berada di hadapan pangsapuri Desa Tasik dan berhampiran terminal bas Bandar Tasik Selatan.

Video dari saksi mata menunjukkan bahawa jambatan yang runtuh bersebelahan dengan jambatan pejalan kaki sedia ada ada.

Prolintas Sdn Bhd, syarikat pemaju projek Suke Expressway, mengatakan bahawa runtuhan itu berlaku setelah treler yang membawa "lebih muatan" melanggar perancah besi pembinaan lebuh raya berkenaan.

Ketua siasatan dan penguatkuasaan trafik polis Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya juga mengesahkan kemalangan itu.

Ini adalah kemalangan kedua yang melibatkan tapak pembinaan Suke.

Pada bulan September tahun lalu, papan konkrit berukuran satu meter persegi jatuh dan melanggar sebuah kereta di bawahnya.

Pemandu berkenaan mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat kemalangan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan