B Nantha Kumar
Seorang wanita hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan anaknya dipukul ketika dalam tahanan, sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.
S Thanaletchumy, 60, mebuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak hari ini. Turut bersamanya adalah peguamnya, K Ganesh.
Dalam laporan itu yang dilihat Malaysiakini, Thanaletchumy berkata anaknya, A Ganapathy, 40, ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.
"Sebelum dia ditahan, anak perempuan saya melihat dia sedang berbincang dengan anggota polis di sebuah kedai motor. Dia nampak sihat dan gembira.
"Ganapathy memberitahu adiknya bahawa ia tidak apa-apa...Kemudian pada sebelah malam, kami dapat panggilan daripada seorang kawan yang beritahu Ganapathy telah ditahan," menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, Thanaletchumy berkata anaknya dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah jantung.
"Selepas dua hari ditahan polis, polis menelefon anak perempuan saya dan minta bawa ubat diabetes dan sakit jantung. Dia bawa ubat dan minta untuk jumpa Ganapathy tetapi tidak dibenarkan.
"Tiba-tiba pada 8 Mac, saya menerima panggilan daripada seorang sarjan yang memaklumkan anak saya dibebaskan dan dimasukkan di ICU (unit rawatan rapi) Hospital Selayang. Dia juga dibersihkan daripada apa-apa kesalahan," katanya.
Ketika melawatnya di hospital, kata Thanaletchumy lagi, anaknya memberitahu dia dipukul oleh polis dengan paip getah.
"Keadaan anak saya sihat tetapi kini dia ada masalah buah pinggang dan kakinya dipotong. Ini disebabkan dia telah dipukul dengan teruk, saya tahu kerana kakinya bengkak dan lebam," katanya lagi.
Thanaletchumy juga memaklumkan anaknya bekerja sebagai peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun.
Malaysiakini telah menghubungi IPD Gombak untuk mendapatkan maklum balas berkenaan perkara ini.
Sementara itu, Ganesh bertanya bagaimana seorang lelaki yang sihat sebelum ditahan tiba-tiba boleh sakit kritikal sehingga kakinya dipotong dan buah pinggang rosak.
"Buat masa ini, kami menunggu apakah tindakan polis. Kemudian, sudah tentu isu ini akan dibawa ke mahkamah.
"Kami nak keadilan kepada pihak keluarga dan mangsanya yang telah pun musnah kehidupannya," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan