Kerajaan Johor dijangka runtuh apabila sidang DUN dibuka

AMNI JAGAT

Pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Perhimpunan Agung Umno (PAU 2020), 28 Mac lalu jelas menggambarkan bahawa kerajaan negeri bakal rebah sekiranya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka kembali.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Sr. Dzulkefly Ahmad berpendapat susulan itu, pertembungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Umno di Johor dijangka semakin memuncak.

Ditambah lagi ujarnya dengan pengumuman Hasni berkaitan kerusi Parlimen Pagoh yang akan ditandingi oleh Umno jelas memberi bayangan keretakan yang berlaku dalam gabungan kerajaan di negeri ini.

“Ini suatu situasi yang genting apabila ugutan MB Johor secara jelas mengisytiharkan untuk bertanding di Pagoh ia akan membuka ruang untuk perpecahan berlaku dalam kerajaan negeri.

“Datuk Hasni kena ingat, kerajaan Johor yang bermajoritikan hanya satu kerusi ini terlalu rapuh dan jika Adun Bukit Gambir iaitu Tan Sri Muhyiddin sendiri sebagai Adunnya dan beberapa lagi Adun Bersatu memboikot Hasni, maka kerajaan akan runtuh. 

“Ini suatu semangat yang tidak baik bagi kestabilan politik di negeri ini. Saya jangkakan sekiranya sidang Dun dibuka maka akan ada penolakan berlaku terhadap kepimpinan Hasni di Johor,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dzulkefly juga tidak menafikan sekiranya berlaku kejatuhan kerajaan tersebut ia sekali lagi memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah semula di negeri ini.

Dalam jangkaannya itu, PH di Johor sebelum ini masih membuka pintu untuk sesiapa sahaja menjalinkan kerjasama dengan mereka bagi memastikan kestabilan politik itu berlaku.

“Ia boleh jadi peluang atau boleh jadi suatu cabaran baru sebagai Adun di negeri ini kerana ini adalah rekod pertama kali kerajaan negeri yang paling tidak stabil dalam sejarah.

“Pastinya hari ini kerajaan Johor tidak akan berada dalam keadaan yang baik kerana situasi cantas-mencantas antara Bersatu dan Umno pasti berlaku selepas pengumuman MB Ahad lalu,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan