Mapim: Politik negara sangat jijik, rakyat tak boleh buat apa-apa

Malaysiakini 

Politik negara kini, kata Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), sudah merudum teruk sehingga berada pada tahap yang sangat jijik.

Menurut Mapim, hal itu berlaku kerana demokrasi dipermainkan dan rakyat pula dipaksa untuk memerhatikan gelagat ahli politik tanpa boleh berbuat apa-apa.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid juga berkata titah Yang di-Pertuan Agong agar ahli politik mengurangkan politiking berlebihan kini nampaknya tidak dipedulikan.

"Ahli politik lebih ghairah bersiap untuk pilihan raya, membahagi- bahagikan kerusi, tawar-menawar jawatan dalam keadaan rakyat tercungap-cungap menghadapi kesempitan hidup. 

"Sedangkan ratusan juta wang rakyat dibelanjakan untuk mengendalikan pilihan raya yang berakhir dengan ahli politik mengkhianati mandat rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia dibuat sehari selepas dua anggota parlimen PKR mengumumkan mereka meninggalkan parti itu untuk menjadi penyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu tiga Adun Amanah Johor mengumumkan tindakan mereka meninggalkan parti berkenaan dan menjadi anggota PKR.

Kata Mohd Azmi Mapim menganggap langkah politik melompat parti, selar-menyelar dan ugut-mengugut antara pemimpin parti ketika ini sangat memualkan.

"Politik serang-menyerang dalam dan antara parti ketika rakyat menghitung kes tinggi Covid-19 dan kematian bertambah setiap hari menandakan 'politik rakyat' hanya slogan kosong.

"Kini rakyat lapisan bawah menunggu suntikan vaksin Covid-19 sementara pemimpin politik atasan sudah menerimanya untuk melindungi diri mereka daripada Covid-19.

"Rakyat bawahan pula terpaksa menunggu atas alasan bekalan vaksin terhad," katanya.

Menurut Mohd Azmi lagi ada sebab kenapa rakyat semakin bosan dengan ahli politik yang membuat keputusan tanpa mengambil kira perasaan pengundi.

Katanya pengundi ditaburkan pelbagai janji dalam pilihan raya dan meyakinkan rakyat bahawa merekalah yang paling layak dipilih.

Namun menurut Mohd Azmi tiba-tiba wakil rakyat terbabit dengan mudah melompat parti tanpa merujuknya kepada pengundi sedangkan tindakan paling wajar dibuat ialah meletakkan jawatan dan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka mahu.

Pada pandangan Mapim, katanya, politik kepartian di negara ini semakin buruk dengan sikap ahli politik yang menjadi individu murahan menjual diri kepada pihak yang sanggup membayar dengan harga tertinggi.

"Politik matang, politik penyatuan semuanya hanya retorik.

"Atas nama politik Melayu-Islam, politik reformasi, politik antikleptokrasi dan antirasuah, mereka lupa bahawa rakyat telah bosan dengan tabiat ahli politik beretorik dan berslogan kosong," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan