MP Umno masih bermain politik ketika Muhyiddin ‘membeli’ majoriti?

ARIF ATAN

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan anggota Dewan Rakyat khususnya Umno untuk segera menyelesaikan krisis politik yang berlaku pada masa ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar tersebut berkata, Muhyiddin terdesak untuk memastikan permainan angka berpihak kepadanya ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mendapat sokongan 109 Ahli Parlimen (MP).

“Umpama berada dalam negara yang tidak ada sistem dan undang-undang, kita bimbang negara ini akan tiba pada ambang budaya yang mengabsahkan penyingkiran demokrasi walaupun dengan cara membeli majoriti.

“Penyingkiran secara ‘purging democracy’ ini harus dihentikan segera dengan MP yang lain memberhentikan kegilaan ini melalui semua kita bersatu menolak kepimpinan TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin)

“Apakah MP-MP Umno khususnya masih bermain politik ketika penghapusan demokrasi ini berleluasa?” soal bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan. 

Untuk rekod, Umno pada masa ini mempunyai 39 kerusi Parlimen manakala BN 42 kerusi ditambah sekutu Umno iaitu MCA dan MIC.

Walau bagaimanapun, konflik terbuka antara pimpinan Umno dan Bersatu yang mempunyai 31 kerusi tetapi menguasai portfolio kementerian paling penting berlarutan termasuk di peringkat sayap parti.

Mengulas lanjut, Mujahid berpendapat Umno perlu mengenepikan sentimen prejudis terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan dengan Muhyiddin.

“Ini bukan isu ‘No Anwar, No DAP’. Ini isu menyembuhkan negara yang semakin sakit gara-gara terdesaknya TSMY.

“Kita harus bersetuju bahawa isunya bukan tentang marahkan kepada pengkhianat dan pembelot tetapi menyembuhkan negara dari penyingkiran demokrasi yang mana TSMY menjadikan demokrasi sebagai ‘musuh’ untuk beliau kekalkan kuasanya,” tambahnya lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan