Perhimpunan Agung UMNO: Dua hari yang boleh mengubah masa depan parti dan negara

MUAMMAR QADDAFI

Hari ini, perwakilan UMNO seluruh negara akan bersidang sempena Perhimpunan agung UMNO (PAU) 2020.

Setiap tahun PAU akan menjadi tumpuan, hatta ketika tumbangnya UMNO pada 2018, liputan PAU tetap dibuat media arus perdana melebihi parti lain.

PAU 2020 adalah cukup berbeza berbanding sebelum, ujian dan pertempuran juga akan lebih dasyat berbanding sebelumnya kerana PAU kali ini, boleh jadi penentu kepada masa depan parti itu sendiri, dan juga corak pentadbiran negara.

Tema utama perbahasan tahun ini pastinya berkisah kedudukan UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Walaupun UMNO telah dengan jelas mengeluarkan ketetapan bahawa akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU15 tetapi tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15, namun ada gerakan lain yang kita nampak berlaku iaitu usaha membawa keluar UMNO dari kerajaan PN.

UMNO sebagai parti yang berusia lebih 60 tahun, berdepan kejatuhan mengerikan pada 2018, ramai menjangkakan riwayat parti UMNO akan berakhir setelah gagal membentuk kerajaan.

Momentum awal kejatuhan dilihat rombangan ahli parlimen UMNO keluar parti, ia ibarat curah garam keluka, sudahlah jatuh dikhianati pula. Begitu juga dengan sekumpulan ahli parti menyertai PPBM.

Namun tidak lama untuk UMNO kembali membina kekuatan, kelemahan pentadbiran Pakatan Harapan dalam mengawal persepsi dan kelicikan pihak lawan bermain sentimen telah menimbulkan satu gelombang perkauman yang telah memberi nafas baharu kepada UMNO.

UMNO juga berjaya menunggang crowd PAS untuk memastikan mesej sampai lebih jauh dan lebih dalam.

Isu Adib, perlantikan peguam negara, maknyah, menjadi peluru hidup kepada UMNO untuk memberi kembali nafas baru kepada parti itu.

Kemuncak momentum menaik UMNO adalah apabila termeterai perjanjian kerjasama dengan PAS dalam satu gabungan disebut Muafakat Nasional (MN).

Kemuncak ini telah memberi gambaran, jika esok PRU15, maka gabungan UMNO dan PAS ini akan berjaya menawan kerajaan dari Pakatan Harapan.

Tetapi, UMNO tersilap langkah, UMNO tidak sabar, UMNO mahu kembali menjadi kerajaan, lalu mereka bersekongkol dengan para pengkhianat, Kartel Azmin Ali dan PPBM.

Setiap mereka ada cita cita, PPBM mahukan Mahathir kekal Perdana Menteri, Azmin Ali mahu Anwar tidak menjadi perdana menteri, dan UMNO mahu kembali jadi menteri.

Langkah Sharaton berjaya mengambil tempat dan runtuh kerajaan Pakatan Harapan, cuma gagalnya apabila yang naik bukan Mahathir tetapi Muhyiddin Yassin.

UMNO kembali sebagai sebuah kerajaan, mendapat habuan menteri dan GLC.

Ibarat penzina, sedapnya sekejap, tidak lama sebelum UMNO tersedar mudarat yang lebih besar.

UMNO berada dalam satu gabungan bersama parti yang berkongsi niche atau market yang sama dengannya, yang bermaksud UMNO akan kehilangan kerusi dek kerjasama ini.

PPBM sebagai parti yang memegang posisi perdana menteri, mendapat kedudukan lebih selesa dalam menekan kepada kerusi.

Apabila PPBM mula mendapat tempat selesa setelah satu masa berlalu pasca langkah Sharaton, UMNO semakin faham bahawa kerjasama dengan PPBM telah membunuh parti mereka untuk jangka panjang.

Lalu langkah untuk meneutralkan momentum menaik sokongan terhadap PPBM adalah dengan cuba menarik diri dari gabungan tersebut, UMNO umum keluar Perikatan Nasional dan wujud gerakan untuk jatuhkan kerajaan tebuk atap pimpinan Muhyiddin dengan cuba bekerjasama dengan Anwar. 

Langkah mereka bukan kerana mendokong Anwar, tetapi untuk UMNO survive untuk jangka masa panjang ke depan.

Masa depan UMNO adalah sekiranya PPBM dijatuhkan dan PAS dilemahkan, maka UMNO akan menjadi parti melayu dominan terbesar kembali.

Sekiranya UMNO bersama PPBM dan PAS, maka UMNO akn memberi nyawa lebih panjang kepada PPBM dan nafas UMNO akan lebih sempit.

Tidak bermakna jika UMNO sendirian itu kuat, UMNO juga akan berdepan risiko tewas PRU15 sekiranya bersendirian.

Namun jika PRU15 PPBM berjaya dijatuhkan, dan PAS hilang kuasa dan kepercayaan, UMNO mungkin lebih selesa pada PRU16 sebagai parti melayu terkuat.

Jadi dua keputusan ini samada bersama PN atau meninggalkan PN, akan memberi kesan kepada UMNO dan perwakilan perlu bahaskan soal ini.

Andai kata mereka memilih kekal dan kemudian meneruskan kerjasama pada PRU15, demi elak risiko tewas PRU15, maka Pakatan akan berdepan pertarungan sukar namun UMNO akan kehilangan pengaruhnya dari masa ke masa.

Andai mereka pilih untuk menarik diri dari menyokong kerajaan PN, Pakatan akan lebih selesa dan PPBM akan dilumpuhkan, masa depan lebih baik untuk UMNO.

Ini juga tidak memustahilkan Pakatan mengambil alih pentadbiran sebelum PRU15 atau berdepan PRU15 dalam masa terdekat ini.

Apapun kita nantikan perbahasan dan ketetapan PAU 2020.

Kemana UMNO membawa diri dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan