PH sudah ada lebih majoriti mudah walaupun tanpa sokongan Pejuang, Warisan dan Muda

FAZLI RADZI

Pakatan Harapan (PH) mampu membentuk kerajaan baharu kerana sudah mempunyai sokongan majoriti mudah Ahli Parlimen.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sokongan mencukupi itu diperoleh tanpa sokongan Ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Dalam jumlah yang melebihi majoriti mudah itu tidak termasuk empat dari Pejuang dan Ahli Parlimen dari Warisan dan seorang Muda. Semuanya 12 (kerusi Parlimen).

“Pejuang, Warisan dan Muda tidak menyokong Muhyiddin dan Anwar sebagai Perdana Menteri. Jadi, mereka satu blok (pembangkang).

“Sampai sekarang mereka tidak beri sokongan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri. Mereka tidak beri sokongan pun, kami sudah melebihi majoriti mudah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu berkata demikian dalam forum menerusi Facebook bersama bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Zaharin Mohd Yasin.

Saifuddin menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya sudah hilang sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.

“Angka (sokongan) yang ada pada Tan Sri Muhyiddin tidak sampai pun 100 (Ahli Parlimen),” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan