Sajat terus ghaib

Malaysiakini 

Usahawan kontroversi Nur Sajat Kamaruzzaman terus ghaib daripada radar industri dan gagal dikesan pihak berkuasa.

Melalui tinjauan Malaysiakini setakat laporan ini ditulis, Sajat dilihat sudah menyahaktifkan laman sosial Instagram miliknya.

Usaha portal ini untuk mendapatkan komen berhubung kontroversi terpalit ke atas Sajat juga tidak berjaya apabila panggilan dan mesej tidak dijawab.

Sajat sedang diburu pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Ia susulan dia gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Sajat bagaimanapun mendakwa mempunyai surat pengesahan untuk tidak hadir atas masalah kesihatan. 

Pun begitu, beberapa hari kemudian, muncul sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan Sajat, 35, membayangkan untuk keluar Islam.

Namun, tidak dapat dipastikan tarikh video tersebut dimuat naik.

Penyanyi Makhluk Penggoda itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas mendakwa dia kecewa dengan layanan diterima daripada pihak berkuasa agama dan orang di sekelilingnya.

Dia sebelum ini pernah meluahkan hasrat adalah lebih baik untuknya menukar agama susulan kontroversi berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah di tanah suci bersama keluarga tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan