‘Tawaran baru’ diterima Pas menawarkan ‘katak’, SOP Covid-19 celaru

FAZLI RADZI

Rata-rata warga maya mengecam pendirian Pas susulan kenyataan terbaharu presiden parti itu yang menyambut baik saranan Perdana Menteri bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah suatu “tawaran baharu” kepada rakyat Malaysia.

Ramai yang mempersoalkan tawaran yang menerima reaksi positif Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang itu termasuk mengaitkan kecelaruan pelaksanaan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Orang ramai juga menempelak ‘tawaran baru’ yang konon dimiliki kerajaan PN selepas merampas kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih setahun lalu menerusi Langkah Sheraton itu.

Hal ini memandangkan PN dilihat menerima seorang demi seorang wakil rakyat PH yang lompat parti atau digelar menjadi ‘katak’ ketika semakin menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pendirian Abdul Hadi berjawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu yang kononnya menolak pendekatan ekstrem dalam masyarakat majmuk di negara ini juga dipersoal selepas isu berkaitan umat Islam gagal ditangani.

“Tawaran apa? SOP Covid bercelaru. Pelaksanaan tidak adil. Isu melibatkan umat Islam tidak selesai. Yang melompat katak diraikan,” kata Fuad Syazwan Ramli.

“Tawaran apa? SOP Covid bercelaru. Pelaksanaan tidak adil. Isu melibatkan umat Islam tidak selesai.

“Yang melompat katak diraikan,” tempelak Fuad Syazwan Ramli di ruangan komentar hantaran Abdul Hadi di Facebook berkenaan ”tawaran baru’ itu.

Semalam, Abdul Hadi menerusi kenyataan media ringkas tiga perenggan itu menyebut pendirian Pas berhubung ‘tawaran baru’ kepada rakyat Malaysia itu demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

Walau bagaimanapun, reaksi umum diterima Abdul Hadi dilihat lebih banyak mempersoal ‘tawaran baru’ disebutkan bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu.

“Tawaran baru? PN ialah parti menawarkan katak adalah. Nak sembang tawaran PRU15 konon,” tegas Nurul Ashikin.

Mati dalam kolam

Ada juga warga maya yang membidas sikap Pas yang dilihat berada dalam dua gabungan parti politik atau ‘dua kolam’ seperti cuba mengambil peluang dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15.

Sebelum ini, Pas dikecam teruk kerana dianggap mengambil kesempatan apabila bergabung bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

“PN dia (Pas) mahu. MN pun dia mahu. Semua kolam dia nak terjun. Akhirnya, mati lemas seekor dalam (kolam) tu,” selar pengguna Facebook, Ku Man.

Sikap Abdul Hadi yang mesra kepada Bersatu selepas Pas dilantik oleh Pengerusi PN, Muhyiddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis juga dihujani kritikan.

Warga maya turut mempersoal pendirian Abdul Hadi berhubung gelaran Parti Ajaran Sesat yang pernah disebut oleh Muhyiddin sendiri ketika menjadi Timbalan Presiden Umno sebulan sebelum PRU ke-13 pada 2013.

“Bukankah PM pernah berkata Pas Parti Ajaran Sesat? Sudah tarik balik? Atau Pas tidak kisah dengan semua itu asalkan dapat jawatan?” sinis Md Shahrolnizam Ahmad pula.

Pas pada masa ini menyumbang 18 kerusi Parlimen dalam kerajaan PN dan bergabung dengan Umno menerusi MN sebelum mendakap Bersatu.

Walau bagaimanapun, Umno masih berkeras menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15 selepas wakil rakyat parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) itu melompat ke dalam Bersatu selepas PRU14.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan