N Faizal Ghazali
Umno tidak perlu menunggu sehingga datangnya pilihan raya umum (PRU) untuk berpisah dengan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu, kata anggota Dewan Negara Husam Musa.
Sebaliknya kata Husam Umno boleh melakukan gerakan itu sebaik saja Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pulang daripada kunjungan rasminya ke Arab Saudi.
Menurut Husam memang jika diikutkan logik memang Umno wajar memisahkan diri mereka daripada Bersatu selepas dilayan sebagai kelas kedua oleh parti berkenaan.
Katanya ia dapat dilihat dengan lebih jelas jika dibandingan dengan cara Bersatu melayan PAS.
"Ini memberi ruang kepada Umno memainkan sentimen untuk menentang Bersatu. Cuma masanya bila? Umno ini kalau dia nak mengekalkan sokongan 'kluster menteri' dia kena ambil langkah itu nak dekat PRU, apabila parlimen sudah bubar.
"Tetapi Umno juga ada peluang untuk jadi kerajaan semula kalau dia bertindak (menarik balik sokongan ahli parlimennya) selepas perdana menteri balik dari Mekah.
"Mereka boleh umumkan keluar, menarik sokongan dan mohon mengadap Yang di-Pertuan Agong. Kalau baginda perkenan mungkin sebuah kerajaan baru boleh dibentuk," katanya.
Bagaimanapun apakah bentuk kerajaan baru itu - termasuk kemungkinan membabitkan Umno dan Pakatan Harapan (PH) - kata Husam, dia tidak boleh membuat jangkaan.
Ada dua jenis kerusi
Namun katanya demi kelangsungan Umno parti terbabit perlu memisahkan diri mereka segera daripada Bersatu.
Bekas exco kanan Kelantan itu ditemui media selepas menyampaikan bantuan kerusi roda kepada seorang asnaf di Kampung Gerong, Tumpat, hari ini.
Husam yang juga ketua Amanah Kota Bharu berkata demikian ketika diminta mengulas isu kerjasama politik antara Umno dan PH yang kini hangat diperkatakan.
Terdahulu Umno membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Umno pada PRU ke-15 manakala PKR memberi gambaran bahawa mereka tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan parti itu.
Husam berkata, secara logik juga untuk membolehkan sesebuah parti seperti Umno bertahan, ia memerlukan jumlah kerusi yang besar untuk bertanding dan berpeluang dimenangi.
Justeru, katanya untuk membolehkan Umno mempunyai peluang memenangi kerusi lebih besar memang mereka perlu mengasingkan diri daripada Bersatu.
Hal itu kerana kata Husam sebahagian kerusi yang Umno menang sebelum ini sudah menjadi milik Bersatu sama ada kemenangan melalui calon dalam PRU ke-14 lalu atau ahli parlimen Umno yang melompat kepada Bersatu.
Katanya jika kerjasama Umno kekal dengan Bersatu, secara automatik kerusi untuk mereka ditandingi sudah bertambah terhad berbanding apa yang dimenangi dulu.
"Ada dua jenis kerusi, iaitu yang nak ditandingi dan yang menang. Tidak semua kerusi yang ditandingi akan menang, tetapi pada dasarnya atas kertas kalau Umno duduk dalam PN, kerusinya sudah kecil berbanding jumlah asal," jelasnya.
Tambah Husam lagi jika Umno menarik balik sokongannya kepada PN ada dua pilihan di depan parti itu sama ada kekal bekerjasama dengan PAS tanpa Bersatu atau semua kerusi Bersatu turut ditandingi Umno.
"Dalam kira-kira yang saya buat, Umno ada potensi menang (jika kerjasama dengan PAS sahaja).
"Bersatu tak ada kekuatan sendiri. Bersatu sebenarnya menunggang PAS dan Umno. Kalau kakinya sudah tempang satu (kerana Umno menarik diri), PAS tidak boleh tolong Bersatu.
"Kalau PAS dan Umno berpecah saya kira-kira PAS hanya dapat 10 kerusi, lapan kerusi PAS akan hilang, sebab itu PAS nak pegang Umno. Tetapi PAS menjadi alat Bersatu untuk tekan Umno.
"Umno tak puas hati, Umno sebagai badan politik kena fikir survival-nya yang lebih dengan cara berpisah dan menentang Bersatu pada PRU akan datang untuk dapat kouta kerusi yang lebih dan peluang menang lebih banyak.
"Apa akan jadi masa itu kita tak tahu," kata Husam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan