SITI NUR ZAWANI MISCON
Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memperkenalkan barisan ahli baru yang terdiri dalam kalangan agamawan dan tokoh Islam yang telah berkhidmat dan aktif dalam program dakwah.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mereka mengumpulkan tenaga agamawan bukan sahaja untuk melahirkan pendakwah, tetapi untuk membentuk pemikir Islam yang boleh memberi pengisian terhadap perjuangan Keadilan.
Menurutnya, pendirian PKR berpaksikan kepada teras kefahaman dalam Islam bahawa keimanan dan akhlak adalah yang terpenting.
“Kita dukung hal yang positif terutama bila ada suntikan penyertaan orang lama, agamawan sama ada mantan Pas, mantan hakim, mahupun mantan guru dan pensyarah.
“Ini kerana fahaman kita tentang Islam itu bukan sahaja Islam sebagai agama Wilayah Persekutuan, tapi pengisian yang boleh bawa kebaikan sehingga mendorong perubahan menolak kejahatan, rasuah dan penyelewengan.
“Suntikan ini mesti dari pencernaan hati nurani dan bukan setakat retorik politik,” katanya dalam sidang media hari ini.
Anwar optimis dan percaya ia juga bakal mengisi dan menambah baik semangat memungkinkan islah serta membuktikan PKR sebagai wadah untuk semua iaitu golongan profesional, seniman, agamawan dan lain-lain.
“Saya percaya penyertaan mereka ini bukan yang terakhir, dan InshaAllah akan ada lagi yang akan menyertai KEADILAN selepas ini,” katanya.
Awal April lalu, PKR turut mengumumkan penyertaan selebriti Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi Altimet dalam dalam acara Temu Anwar baru-baru ini.
Sementara itu Anwar menegaskan, jalur politik yang dibawa PKR adalah gerakan islah yang membawa kebaikan dan tidak mempertajam kemusuhan antara parti, kaum, dan agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan