‘Bina semula Malaysia yang dihancurkan penyangak’

ARIF ATAN

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyeru golongan muda untuk bangkit membina semula negara yang dirosakkan oleh golongan pengkhianat dan perompak.

Bekas Menteri Pertahanan itu berharap anak muda tidak putus asa untuk menuntut sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan sistem pilihan raya dikembalikan.

“Ia hancur pada tahun 2020, dikhianati oleh orang seperti Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, dan lain-lain tanpa menghormati mandat yang diperoleh parti yang menang pada PRU 2018.

“Apabila kita tidak menghormati sistem yang kita pilih, kita bimbang negara menuju kepada kehancuran.

“Saya harap anak-anak muda yang baru hendak mengundi termasuk pengundi 18 tahun, bina semula Malaysia yang dihancurkan oleh penyangak-penyangak, barua-barua politik yang ada sekarang,” tegasnya malam ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian dalam Bicara Presiden

menerusi FB Live di saluran Facebook Parti Amanah Negara.

Hilang kepercayaan

Paling beliau bimbangkan ialah keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya yang diamalkan negara ini sejak lebih 60 tahun lalu.

“Rampasan kuasa melalui perpindahan ahli-ahli Parlimen secara besar-besaran, maka sekarang rakyat sedang hilang kepercayaan kepada wakil-wakil rakyat.

“Yang saya bimbang hilang kepercayaan kepada sistem yang kita pilih ini dan berjalan sejak tahun 1955.

“Apabila kita memilih demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan sistem pilihan raya, kita mesti pegang sistem ini. Ini kita pilih demokrasi berparlimen tapi kita khianatinya,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mohamad berharap golongan muda terus bersemangat untuk memberi pengajaran terhadap mereka yang telah mengkhianati nilai demokrasi ini.

“Kita tidak mahu sistem yang tidak menentu pada masa ini. Apabila rakyat tidak lagi yakin untuk keluar mengundi dan pilih wakil rakyat, maka sistem apa hendak dipilih pada masa depan?” soalnya yang berpengalaman sembilan kali bertanding dalam pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan