Jauhi puasa sekular!

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Suatu aspek yang dikurang disenangi dengan kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini ialah sisi komodifikasi dalam amalan puasa yang dipenuhi dengan ciri kepenggunaan atau konsumerisma totok itu.

Sayangnya, kemuliaan bulan Ramadan sebagai sebahagian daripada konsep ketakwaan kini menjadi persoalan? Dalam usaja meningkatkan kualiti keagamaan kepada diri kita ia telah menjadi instrumen perniagaan komersial yang sangat menggiurkan dan menjadi sekular. Bulan puasa telah dikomersiali menjadi sebahagian daripada aspek kapitalisme di mana keuntungan diutamakan daripada kerohaniannya.

Dalan mengkomersialkan Ramadan ia telah mencabut roh bulan yang mulia itu menjadi peluang bagi mempromosikan barangan dan perkhidmatan. Dalam aspek-aspek yang menghilangkan kemurnian agama, komersialisasi Ramadan yang menyerupai komersialisasi sambutan Krimas yang telah menjadi musim membeli-belah di Barat.

Juadah makanan, pakaian, perabot, kereta dan seumpamanya yang menganuti budaya pengguna hedonistik yang bersifat sekular. Iklan Ramadan memujuk pengguna supaya menikmati makanan dengan lahap di gerai-gerai, hotel-hotel dan restauren-restauren serta berbelanja besar dengan boros ,merupakan suatu pembaziran yang merupakan amalan yang amat dilarang di dalam Islam.

Secara tidak sedar dalam komodifikasi Ramadan dan Aidil Fitri di sjnila berlaku proses sekularisasi melalui berlakulah secara halus iaitu pemisahan antara amalan mulia di bulan puasa yang terbatas di masjid dan surau oleh ibadat solat tarawih dan bacaan quran dengan ciri kehidupan harian yang tidak disatukan dalam ihya Ramadan.

Jika malam kita ke surau atau masjid tetapi apabila menyentuh bab makanan, pakaian, menghias rumah misalnya, segala tuntutan amalan yang mementingkan kawalan nafsu, adap bersosial dan keperluan menghidupakan tuntutan Ramadan dipisahkan.

Seolah-olah waktu malam hanya untuk beribadat dan waktu siang untuk membeli belah dan perkara-perkara berkaitan aspek kepenggunaan melampau.

Adakah kita mengamalkan budaya menyemarakan tuntutan agama di bulan puasa atau menyemarakan budaya materialism dan kepenggunaan.

Amalan berpuasa tidak holistik dan terpisah-pisah atau bersifat sekular, sesuatu yang harus umat Islam jauhi. Di mana kehadiran suasana hati yang melahirkan sikap tawaduk, sabar disiplin dan qanaah jika hati kita diselaputi oleh ketaksuban pembelian barangan yang baharu?

Kita menjadi begitu taksub dengan mengumpulkan begitu banyak wang untuk membeli barangan, perkhidmatan dan hiburan yang tidak perlu sehingga kita mengabaikan tugas dan hubungan kita dengan Allah. Kita lupa bahawa kita hanyalah seorang musafir yang dalam perjalanan ke akhirat.

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengatasi sekularisasi yang semakin menjalar ini? Kita sebagai pengguna Islam harus berusaha untuk tidak terjebak atau terjerumus dalam amalan mengikut nafsu.

Walaupun Syaitan dirantai pada bulan Ramadan tetapi jin dan syaitan dalam diri tetap liar dan angkuh untuk mempengaruhi hati manusia.

Umat Islam harus menjauhi dan menghindari produk-produk yang cuba untuk mengkomersialkan agama dan menjadi penungang agama ini.

Komersialisasi agama yang dimaksudkan ialah, wujudnya unsur memperdagangkan, mempengaruhi, serta mengeksploitasi agama untuk kepentingan kebendaan semata.

Al-Ghazali dalam magnum opusnya, Ihya Ulumuddin, memilih dan memilah orang berpuasa kepada tiga golongan. Pertama, puasa orang kebanyakan (awam) yang sekadar menahan haus dan dahaga. Kedua, puasa orang khusus (khawwash) yang tidak sekadar menahan haus dan dahaga tetapi juga memelihara diri dari segala jenis perbuatan maksiat. Ketiga, puasa orang yang paling istimewa (khawwashul khawwash) bertujuan untuk mencapai derajat Nabi yang mendedikasikan seluruh hidupnya hanya untuk Allah semata.

Keruntuhan adab iaitu kehilangan disiplin akliah, rohaniah dan jasadiah dalam memahami maksud, tujuan dan makna berpuasa itu telah menghilangkan upaya meletakkan suatu perkara di tempat wajar hingga menimbulkan kekeliruan dan kezaliman dalam kehidupan di lapangan. Inilah yang terjadi dalam amalan puasa sekular. Kita hanya menjadikan Rukun Islam ketiga ini sebagai amalan ritual kosong yang tiada makna.

Dalam ibadat Islam, tiada kenal pemisahan antara sisi keagamaan denga sisi-sisi kehidupan lainnya. Bahkan dalam ajaran Islam yang bersifat mahdhah sekalipun, gabungan agama dan kehidupan sosial disatukan.

Dalam ajaran Islam, tiada dikenal pemisahan yang ketat antara sisi ritual dengan sisi-sisi kehidupan lainnya. Bahkan dalam ajaran Islam yang bersifat mahdhah sekali pun selalu ada sisi-sisi sosial di samping sisi ritualnya. Puasa, contohnya, aspek utamanya bersifat ritual dalam hal ini mendekatkan diri kepada Sang Khaliq dengan cara-cara tertentu. Namun, ada aspek lainnya yang sama-sama harus diberikan perhatian, misalnya aspek sosial, budaya, sains, kesihatan, ekonomi bahkan sehingga bidang siasah atau politik.

Ia harus dipandang sebagai bahagian integral dari ibadah puasa. Itu sebabnya, betapa pentingnya sudut pandangan holistik dalam ibadah puasa ini supaya kita tidak terjebak ke dalam puasa sekular.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan