Paluan gendang pilihan raya dan strategi politik koalisi

AZHAR MAT DALI

Paluan gendang perang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nampaknya terus kuat berkumandang. Strategi ‘politik koalisi’ kini menjadi suatu ramuan baharu kepada gerakan parti-parti politik di Malaysia untuk berkuasa.

Sehingga hari ini sekurang-kurangnya telah wujud tiga gabungan yang bakal berentap dalam PRU15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi. Setiap gabungan ini juga mempunyai keupayaan, kekuatan dan kelemahan tersendiri.

Apa yang lebih menariknya ialah tiga koalisi utama, masing-masing mempunyai rekod sebagai kerajaan, atau pernah menjadi kerajaan. Saya yakin, mereka ini akan mampu melahirkan manifesto yang lebih membumi dan boleh dilaksanakan dalam tempoh penggal pemerintahan kelak berdasarkan pengalaman berada dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Tidak keterlaluan jika di andaikan pertembungan PRU kali ialah pertembungan 3 kerajaan, PN vs BN vs PH.

Di Malaysia barat, tiga koalisi yang hampir pasti berentap dalam PRU15 nanti ialah:-

i) Perikatan Nasional (PN)

Terdiri daripada gabungan tiga parti iaitu PPBM (Bersatu), Pas dan Gerakan. Kelebihan gabungan ini adalah mereka menguasai kerajaan semasa dan berpeluang menentukan tarikh pilihan raya. Naratif yang dibawanya ialah Kerajaan Melayu-Islam berteraskan perpaduan ummah.

Gabungan PN yakin dengan hasil tinjauan yang menyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin (Mahiddin) Yassin (TSMY) adalah popular dan mampu memacu PN untuk menang bergaya.

Kekuatan TSMY sendiri diyakini mampu menampung kelemahan anggota kabinet semasa dan kelemahan stuktur serta jentera parti di peringkat akar umbi.

Gabungan kuat bersama Pas dijangka akan membantu mereka untuk terus kekal menjadi kerajaan selepas PRU15 kelak. Sementelah beberapa orang pemimpin kanan parti Umno terlihat masih mencari ruang untuk bersama PN menerusi PPBM ini.

Kelemahan utamanya ialah, siapa selepas TSMY?

ii) Barisan Nasional (BN)

Umno masih menjadi teras kepada gabungan ini dan mempunyai pengalaman panjang menjadi kerajaan sejak merdeka sehingga ditewaskan dalam PRU14 yang lalu. MCA dan MIC masih menjadi rakan dalam gabungan 14 buah parti ini.

Pada masa ini, Umno menjadi rebutan. Ini kerana Umno mempunyai ahli yang ramai, struktur tersusun dan teruji sehingga ke akar umbi masyarakat. Namun, kelemahan yang ketara ialah, Umno seolah-olah hilang punca bila tidak lagi mengetuai kerajaan.

Isu besar yang perlu diuruskan oleh Umno/BN menjelang PRU15 ialah siapa calon perdana menteri dari gabungan ini?

iii) Pakatan Harapan (PH)

Gabungan tiga parti PKR, AMANAH dan DAP. PH berjaya menang dalam PRU14 yang lalu dengan sokongan dari kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk PRU15, PH melalui deklarasi Port Dickson dua hari lalu masih mempertaruhkan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Sebagai rekod, Anwar pernah mengetuai gabungan oposisi dalam PRU 1999, 2008 dan 2013 yang semuanya gagal membentuk kerajaan.

Sehingga kini, masih tidak jelas naratif yang akan ditampil oleh PH kali ini. Jika sebelum ini PH membawa agenda Selamatkan Malaysia, Bina Semula Negara dan Lawan Kleptokrasi, namun kini tak lagi kedengaran naratif tersebut dimainkan.

Juga sama, koalisi ini masih tidak menamakan sehingga kini, siapa selepas Anwar.

Selain dari ketiga-tiga gabungan besar ini, ada beberapa parti kecil juga terlihat dan menyuarakan hasrat akan bertanding dalam PRU nanti.

Antaranya adalah:

i) Pejuang – kumpulan serpihan PPBM yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir. (menarik untuk dilihat apakah kumpulan ini akan berakhir seperti mana Parti Negara pimpinan Onn Jafaar atau berjaya menjadi ‘king maker’ dalam PRU15 nanti)

ii) MUDA – gabungan anak-anak muda yang diterajui oleh bekas menteri belia dan sukan, Sdra Syed Sadiq.

iii) VeteranTentera – sosek-sokek politik menyebut bekas tentera ini menyasarkan untuk bertanding di 53 kerusi parlimen. Mereka telah memulakan gerak kerja akar umbi, mengenalpasti calon dan memulakan siri jelajah bertemu rakyat.

iv) PSM – parti ini juga dijangka akan turut bertanding dalam PRU15 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan