PH jatuh bukan kerana Umno dan Pas

FAZLI RADZI

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berpendapat kejatuhan kegagalan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Putrajaya sebelum penggal tamat bukannya disebabkan Umno dan Pas.

Sebaliknya, beliau menegaskan, tumbangnya PH selepas hanya 22 bulan berada di Putrajaya kerana perbuatan golongan pengkhianat menerusi Langkah Sheraton.

“PH jatuh bukan kerana Umno dan Pas. PH dijatuhkan oleh pengkhianat Pakatan Harapan sama ada dari Bersatu dan mereka yang ‘lari’.

“Apabila (PH) dah goyang, datanglah Umno dan Pas bersama bina kerajaan dengan cara yang tidak demokrasi,” katanya dalam Jelajah Ceramah Isu Politik Semasa di Kampung Bharu di ibu negara kelmarin.

Bekas Menteri Pertahanan berkenaan bahkan menyifatkan sistem demokrasi berperlembagaan yang menjadi amalan di negara ini musnah di tangan pengkhianat terbabit.

“Sistem yang dibina ini hancur dan sekarang kita dapat lihat pemerintah pada masa ini tidak dihormati. Baru pergi Indonesia, (Muhyiddin) teruk kena hentam tempoh hari.

“Menteri-menteri Malaysia bolehlah pergi negara-negara Arab. Mereka bukan negara demokrasi berbeza dengan negara-negara Eropah,” bidasnya lagi.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama seperti negara-negara Arab terlibat hanya membina kekuatan menteri dan wakil rakyat bukannya kekuatan ummah.

Turut memberi ceramah Setiausaha Agung AMANAH, Dr Mohd Hatta Ramli; Pengerusi Mobilisasi AMANAH Nasional, Sany Hamzan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer; Pengarah Pilihan Raya Pemuda AMANAH Nasional, Asmaaliff Abdul Adam serta Ketua AMANAH Titiwangsa, Zaharudin Othman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan