Shahbudin Husin
Dalam tulisan atau luahan perasannya yang panjang lebar semalam, Najib Razak menganggap notis bankrap yang dikemukakan LHDN kepadanya adalah untuk mengaib dan mencemar reputasinya.
Notis berkenaan juga, tambahnya adalah bermotif politik dan bertujuan mengawal musuh.
Bekas Perdana Menteri itu seterusnya menggariskan tiga sebab ia dilakukan terhadapnya:-
Pertama, undian dijalankan penyelidikan UUM dan Utusan TV melibatkan 60,000 responden menunjukkan yang beliau adalah Perdana Menteri pilihan bagi PRU15 dengan separuh dari undian manakala PM pada masa ini jauh di belakang dan hanya menduduki tempat keempat.
BN pula dipilih sebagai gabungan pilihan pertama dalam undian manakala PN di tempat tercorot.
Kedua, keputusan PAU2020 untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu/PN ketika PRU15 akan datang.
Ketiga, bermulanya rayuan kes SRC di mana Najib penuh yakin dengan mempunyai 307 alasan kukuh mengapa hakim yang tidak berpengalaman serta tiada pengalaman mengendali kes jenayah dan tiba tiba dipindahkan dari mahkamah sivil menggantikan hakim jenayah berpengalaman selepas perbicaraan bermula, membuat keputusan dengan mensabitkan hukuman bersalah terhadapnya.
Kata Najib lagi, pasukan peguambelanya yakin beliau mempunyai peluang yang baik dalam rayuan ini apatah lagi ahli keluarga salah seorang saksi pendakwaan didapati menerima ratusan juta dari Jho Low selepas sabitan terhadapnya dijatuhkan.
Selain itu, Najib turut mengaitkan kesimpulan terkini kes pelupusan harta di mana pendakwa raya gagal membuktikan barangan dan wang yang disita daripada kediamannya adalah diperolehi dari dana 1MDB.
Malah, dakwanya, hakim telah menolak afidavit pendakwaraya yang dikemukakan pada saat akhir dan hakim dijangka akan membuat keputusan untuk kes tersebut pada bulan depan.
Dengan notis bankrap itu yang menungkinkan semua akaun bank dan harta miliknya dirampas, seterusnya akan jadi papa kedana,?Najib bagaimanapun berkata, pasukan peguamnya akan membuat rayuan untuk menangguhkan hukuman tersebut.
Bermakna dalam hal ini, Najib masih mahu mengikut sistem dalam usaha mempertahankan dirinya, meskipun sudah berkali-kali juga mengatakan tuduhan terhadapnya adalah bermotif politik.
Walaupun saya antara yang banyak mengkritik Najib ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri, malah saya sempat menerbitkan enam buku sebagai sebahagian usaha menjatuhkannya sebelum PRU14 lalu, kali ini saya benar-benar bersimpati terhaadap apa yang menimpanya.
Ternampak tidak masuk akal beliau boleh dikenakan cukai peribadi sebanyak RM1.7 bilion hanya kerana sumbangan yang diterimanya.
Adakah dengan cukai sebesar itu bermakna Najib lebih kaya daripada Robert Kouk, orang paling kaya di Malaysia?
Lagi pula, LHDN sendiri pada 2016 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dana RM2.6 bilion yang diterima Najib tidak perlu dikenakan cukai kerana ia dianggap sumbangan untuk politik.
Mengapa setelah kerajaan berubah dengan Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 2018, tiba-tiba pendirian LHDN berubah?
Makanya, untuk menganggap tindakan LHDN mengenakan cukai sebanyak RM1.7 bilion, kemudian disusuli notis bankrap pada hari pertama bicara kes rayuan Najib bermula sebagai tidak bermotif politik terlihat sukar untuk dipercayai.
Lebih ramai akan percaya tangapan sedemikian berbanding cubaan untuk meyakinkan ia dilaksanakan berdasarkan undeng-undang.
Lagi pun, jika tidak bermotif politik dan undang-undang didaulatkan, mengapa kes Azmin Ali berkaitan video Haziq masih didiamkan sehingga sekarang?
Daripaad era Tun Mahathir hinggalah kepada Mahiaddin Md Yasin jadi Perdana Menteri sekarang, Azmin bukan saja masih bebas lepas, malah terus jadi anak emas kepada kedua-dua pemimpin berkenaan.
Kalau bukan bermotif politik, apakah alasan lain tidak mengenakan tindakan terhadap Azmin di mana semua orang yang menonton video tersebut percaya itu adalah beliau.
Tidak mustahil jika Azmin sendiri pun menonton video Haziq itu, beliau turut tidak terkecuali percaya itu adalah dirinya.
Dengan perbandingan mudah antara kes Najib dengan kes Azmin, tidak dapat tidak, sukar untuk menafikan kedua-duanya tidak bermotif politik.
Kalau Najib dibawa ke pengadilan dan diberi ruang membela diri, Azmin juga sepatutnya tidak dikecualikan daripada proses yang sama.
Oleh kerana rata-rata percaya ia bermotif politik, malah Najib sendiri percaya 100 peratus motif politik mengapa beliau diperlakukan sedemikian rupa, melawannya mestilah juga dengan politik.
Walaupun melawan melalui sistem bukan suatu kesalahan, tetapi melawan dari segi politik harus juga dipertingkatkan lagi.
Dengan perkembangan terbaru diberikan notis bankrap ini, selain ternampak jelas Mahiaddin meneruskan apa yang dilakukan sebelumnya oleh Tun Mahathir, sebenarnya inilah alasan paling wajar untuk Najib tidak lagi menyokong kerajaan PN.
Sekaranglah masa terbaik untuk UMNO secara en bloc, atau setidak-tidaknya Ahli Parlimen yang bersama Najib dan Zahid Hamidi untuk menarik sokongan terhadap Mahiaddin dan menjatuhkan kerajaan PN.
Lagi lama kerajaan PN ini dibiarkan berkuasa, selain masa depan Najib akan terus gelap, UMNO juga turut gelap masa depannya. (Shahbudindotcom 07/04/2021)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan