Siapa tak ada 'telor' sekarang? - Anak Zahid lepas jawatan k'jaan

Malaysiakini 

Anak Presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai ahli Perbadanan SME Corp, agensi Kementerian Pembangunan Usahawan (Medac), dipercayai sebagai menyahut seruan perwakilan pada PAU2020.

Nurulhidayah memaklumkan hal itu pada satu hantaran di Instagram malam tadi yang disertai surat perletakan jawatannya serta-merta bertarikh 6 April lalu kepada Menteri Pembangunan Usahawan Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Jawatan yang dilantik saya sukarela lepaskan.

"Jawatan yang dipilih atas pemilihan yang sah, wajib dipertahankan.

"Soalan saya siapa tidak ada 'telor' sekarang," katanya yang dilantik ke jawatan itu pada 4 Januari lalu.

Pada hantaran itu, Nurulhidayah dipercayai membayangkan perletakan jawatannya berkait konflik dalaman kepimpinan Umno dan desakan supaya bapanya Ahmad Zahid Hmidi berundur sebagai presiden parti.

Pun begitu, Nurulhidayah berkata penggunaan ungkapan 'tidak ada telor' itu tiada kena mengena dengan penampilan dirinya atau mereka yang sefesyen dengannya.

"Berani kerana benar," tulisnya dengan huruf besar menunjukkan penegasan.

Untuk rekod, ungkapan bahasa slanga "ada telur" merujuk kepada keberanian, manakala "tidak ada telur" bermaksud penakut.

Pada PAU2020 lalu, Umno mempertegas keputusan MT parti sebelum ini untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan perwakilan menyerahkan kepada presidennya untuk menentukan garis masanya.

Ketika PAU 2020 juga, ahli parlimen Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet PN atau menyandang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran meletak jawatan.

Malahan Zahid pada PAU 2020 juga mencabar seorang menteri yang dipercayai Annuar Musa supaya meletakkan jawatan dalam kabinet.

Selain melabelkan pemimpin tersebut sebagai 'makhluk perosak', Zahid juga mendakwa menteri berkenaan 'menikam' Umno dari belakang.

Pun begitu, Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata parti itu perlu memikirkan kepentingan rakyat sebelum mengambil tindakan untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan PN pada waktu sekarang.

"Mungkin benda itu kita rasa terbaik untuk Umno tapi ada kesannya kepada rakyat," katanya pada 30 Mac lalu.

Setakat ini, selain Nurul, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman pada 1 April lalu telah melepaskan jawatan sebagai pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Katanya, ini sebagai menghormati akar umbi pada PAU dan keputusan Umno sudah jelas untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan pendirian itu perlu dihormati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan