Suami gadai nyawa terjun Jambatan P Pinang selamatkan isteri

FMT Reporters

Polis marin membawa pasangan itu dalam bot mereka selepas diselamatkan.

PETALING JAYA: Seorang lelaki sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan isterinya selepas wanita itu jatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pertengkaran antara mereka berdua, dengan anak lelaki pasangan terbabit dilaporkan menahan pemandu kereta lain meminta bantuan.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd Azizul Alim berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang tadi, pihaknya mendapati mangsa telah diselamatkan oleh suaminya sebelum jentera bomba tiba.

Wanita itu dibantu anggota bomba selepas diselamatkan.

Berdasarkan laporan, pasukan bomba berjaya memujuk mangsa yang mengancam membunuh diri serta menenangkannya sebelum dibawa ke tempat selamat.

“Anggota bomba turun ke bawah dengan menggunakan kaedah ‘rappelling’ untuk memujuk dan menenangkan mangsa.

“Mangsa dan suaminya dibawa ke Jeti Batu Uban menggunakan bot nelayan dengan iringan pihak polis marin,” kata Azizul dalam kenyataan.

Kanak-kanak dipercayai anak pasangan berkenaan menahan pemandu lain untuk meminta bantuan selepas ibu bapanya terjun dari jambatan itu.

Tambah beliau, operasi yang dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai itu tamat sepenuhnya pukul 6.18 petang tadi dan mangsa difahamkan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan seorang kanak-kanak yang menahan pemandu di Jambatan Pulau Pinang untuk memohon bantuan selepas mendakwa ibu dan bapanya terjun ke laut. Orang awam kemudian menghubungi talian kecemasan.


Mereka yang merasa tertekan, atau mempunyai masalah emosi boleh meminta bantuan doktor atau menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders di talian 03-7627 2929, pada bila-bila masa, atau melalui e-mel admin@befrienders.org.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan