47 mangsa cedera parah, tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung

FAZLI RADZI

Sejumlah 47 penumpang cedera parah apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dalam kemalangan antara stesen KLCC dan Kampung Bharu jam 8.45 malam tadi.

Dalam masa sama, seramai 166 mangsa lagi cedera ringan dalam insiden akibat brek mengejut yang berlaku dalam terowong tersebut.

Penumpang yang cedera dalam kemalangan dengan kelajuan tren kurang 40 kilometer sejam itu telah dipindahkan dan dihantar ke hospital berhampiran pada jam 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Mohamad Zainal Abdullah dalam sidang media sebentar tadi di lokasi berkata, nahas melibatkan tren memuatkan 213 penumpang dari Gombak menghala ke Kelana Jaya yang dipandu secara automatik dengan tren yang mengalami masalah teknikal tanpa penumpang dari Kampung Baru.

Menurutnya, tren yang rosak dengan seorang pemandu menghala ke Gombak itu sepatutnya tidak bertembung jika menggunakan dua laluan berbeza.

“Mungkin berlaku kegagalan komunikasi di pusat kawalan LRT ini. Kita akan menyiasat jika berlaku kecuaian dan sebagainya kerana melibatkan kepentingan awam dan ramai yang cedera.

“Sepatutnya tidak berlaku (bertembung) kerana menggunakan laluan berbeza. Setakat ini belum ada apa-apa menunjukkan adanya unsur sabotaj,” katanya.

Jelasnya lagi, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat.

Ratusan penumpang LRT cedera akibat pertembungan dekat stesen KLCC malam ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali, berkata perkhidmatan LRT melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.

“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu, tular video dan gambar mengenai kemalangan itu yang antara lain memperlihatkan penumpang bergelimpangan dan cedera dengan lantai tren bersimbah berdarah.

Sejak lebih 20 tahun LRT beroperasi di Kuala Lumpur, belum ada lagi tragedi berdarah seumpama ini berlaku.

Salah seorang mangsa cedera parah terbaring di lantai LRT sejurus pelanggaran berlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan