Berdiri depan cermin, tunggang agama tiada dalam senarai, warganet ‘sekolahkan’ MP Pas

FAZLI RADZI

Hanya dalam tempoh 21 jam, hantaran yang dimuatnaik oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkenaan sumbangan kemanusiaan buat rakyat Palestin hanya dibanjiri kecaman dan sindiran.

Reaksi rata-rata warganet dalam lebih 270 komentar di akaun rasmi Facebook Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu susulan kenyataannya yang antara lain mengaitkan setitis air tidak akan diberi kepada penghuni neraka yang ketika di dunia bersifat kedekut.

“Jauhi sifat kedekut. Kita tak terlawan kedekut neraka nanti. Setitis air pun tidak akan diberinya kala penghuninya menjerit meminta-minta kehausan.

“Teruslah menderma walau secubit tamar. Ia akan memadam murka Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam diakhiri dengan tanda pagar #Aid4Palestine.

Sehubungan itu, orang ramai menyifatkan wakil rakyat Pas tersebut seperti menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri.

“Masa up status ni mesti tengah berdiri depan cermin ‘kan?” perli Ibn Khairani.

Sementara itu, pengguna Facebook Nurul Ashikin pula berharap semoga pimpinan Pas yang kini sebahagian dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) memahami teguran Ahli Parlimen Bachok berkenaan.

“Jauhi sifat kedekut. Hak rakyat dapat air bersih, jalan raya, pembangunan ekonomi, rumah, pekerjaan ya.

“Jangan kedekut! Nik Abduh the best,” tulisnya bernada sinis.

Tidak kurang juga warganet yang ‘menyekolahkan’ Nik Abduh ekoran sumbangan kemanusiaan buat rakyat Palestin yang masuk melalui akaun bank Pas.

“Berenang, memanah, tunggang kuda. Tunggang agama tiada dalam senarai ya YB. Beritahu saja. Janganlah marah ana,” usik Zulhilmi Hanapi.

Bahkan, ada berpendapat tiba masa wakil rakyat pula turun menjengah marhaen memandangkan sudah menjadi kerajaan.

“Dah jadi kerajaan kena banyak turun padang, tolong-tolong menderma sekali kepada rakyat yang memerlukan,” kata Zhafran Zahari.

Tinjauan pendapat di ruangan komentar bagi hantaran itu bagaimanapun mendapati ada juga segelintir warganet dipercayai penyokong tegar Pas yang cuba membalas kecaman warganet.

Ada daripada mereka mengaitkan pihak yang mengkritik Nik Abduh dan Pas itu sebagai ejen DAP malah tali barut proksi Yahudi di negara ini.

“Setiap kali keluar status dari ustaz (Nik Abduh), tali barut proksi Yahudi Malaysia tidak senang duduk. Kenapa ya?

“Alhamdulillah, satu peringatan yang baik dari ustaz. Tq,” puji Halim Hashim.

Walau bagaimanapun, reaksi Halim itu kemudiannya hanya dibalas dengan mengaitkan dakwaan Nik Abduh yang dikatakan ada hubungan rapat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

“Sebab ustaz tu rapat dan baik dengan CIA, dia mungkin agen CIA,” kata pengguna Facebook Tansri Awangku Jangok.

Untuk rekod, pada 2019 tersebar rakaman audio berhubung pengakuan penerimaan wang jutaan ringgit daripada Umno.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan kemudiannya mengesahkan bahawa rakaman audio yang tersebar adalah suara milik Nik Mohamad Abduh.

Rakaman audio itu antara lain berbunyi: “Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan