Bersenam cara pelik, lelaki maut terjatuh dari tingkat 12

FMT Reporters

Orang ramai berusaha menyelamatkan mangsa tetapi gagal sebelum dia terjatuh.

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 12 selepas dia dilihat berkelakuan pelik apabila dikatakan tiba-tiba bersenam dengan berpaut pada tembok di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki mahu terjun dari tingkat atas blok berkenaan pada 2.08 petang.

“Siasatan awal dilakukan mendapati lelaki berusia 37 tahun berkenaan dilihat berlegar-legar di tingkat 12 blok berkenaan pada 1.50 tengah hari.

“Sebelum kejadian itu, terdapat seorang saksi menegur lelaki terbabit dan dia hanya tersenyum dan tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok.

“Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba memujuk lelaki berkenaan selama beberapa minit sebelum dia jatuh,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Hasil pemeriksaan, lelaki itu maut dengan kecederaan parah di kepala, bahu, tangan dan kakinya.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan