Dalam hal COVID-19 siapa lebih dipercayai Mahiaddin, Ismail, Khairy atau Adham?

A KADIR JASIN

Dalam komunikasi massa, audiens dikatakan akan mengalami “news fatigue” apabila sesuatu maklumat dihebahkan berulang kali dan oleh orang yang sama. Apatah lagi kalau ia adalah maklumat buruk seperti Covid-19.

Dalam bahasa Melayu, bolehlah diterjemahkan lebih kurang sebagai kelesuan berita atau jemu berita.

Maksudnya orang ramai sudah lesu, letih dan jemu dengan maklumat yang diulang-ulang atau orang yang sama yang menghebahkannya.

Mengubah label hebahan daripada amanat khas kepada perutusan khas, bicara khas dan sebagainya tidak membantu mengembalikan minat audiens atau mengubati maladi “news fatigue” ini.

Kelesuan ini akan menjadi bertambah buruk apabila orang yang menyampaikan maklumat itu adalah orang yang tidak berwibawa atau sudah hilang keyakinan orang ramai.

Macam kata mendiang sifu komunikasi Kanada, Marshall McLuhan “the medium is the message”. Maksudnya pembawa berita adalah dengan sendirinya berita.

Kalau pembawa berita itu seorang yang diyakini, maka kemunculannya saja sudah cukup untuk menjadi berita apatah lagi maklumat yang dibawanya.

Sebab itulah dalam komunikasi massa, kewibawaan atau kebolehpercayaan perantara (medium) sangat penting. Misalnya stesen televisyen mana orang ramai lebih percaya – RTM, TV3 atau Astro Awani?

Atau dalam hal Covid-19 ini siapa orang ramai lebih percaya antara Mahiaddin Md. Yasin, Ismail Sabri Yaakob, Khairy Jamaluddin dan Adham Baba?

Mengetahui siapa dan saluran penyebaran mana yang lebih diminati dan dipercayai oleh orang ramai boleh membantu penghebahan maklumat dan mengelak daripada berlaku “news fatigue” secara besar-besaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan