Didenda RM3,000 Najib kongsi gambar Muhyiddin tanpa pelitup muka

Malaysiakini 

Bekas perdana menteri, Najib Razak akur dengan denda sebanyak RM3,000 yang dikenakan terhadap kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Bagaimanapun kerelaan itu tidak berlalu begitu saja. Sebaliknya ahli parlimen Pekan itu secara sinis 'menembak' kerajaan yang dirasakannya tidak berlaku adil.

Sambil memuat naik artikel yang berkait dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Najib mempersoalkan apakah tindakan kerajaan terhadap menteri yang melanggar SOP.

"Selepas saya mengaku salah, saya dikompaun RM3,000 sebab melakukan dua kesalahan langgar SOP Covid. Tidak imbas suhu badan, tidak 'scan' (imbas) MySejahtera.

"Saya akan bayar kompaun ini. Boss kedai nasi ayam itu pula kena denda RM10,000. Saya dan orang biasa akan disiasat polis dan didenda kerajaan.

"Kalau menteri-menteri kerajaan langgar SOP, saya tak tahulah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengiringi hantaran itu ialah gambar Muhyiddin memasuki sebuah premis di Putrajaya untuk menghadiri dan mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor.

Ahli parlimen Pagoh itu dirakam berjalan tanpa memakai pelitup muka.

Terdahulu, polis mengeluarkan dua denda berbeza iaitu RM3,000 terhadap bekas Najib kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, manakala restoran nasi ayam yang dikunjunginya dikenakan kompaun RM10,000.

Najib didenda kerana tidak merekodkan kehadirannya di Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng di Bukit Bintang selain tidak membuat pemeriksaan suhu badan ketika memasuki premis berkenaan.

Sementara itu, restoran nasi ayam berkenaan didenda kerana gagal memastikan Najib mematuhi SOP.

Kompuan itu dikeluarkan terhadap Yeok Wei Hao yang juga pengurus kedai nasi ayam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata denda itu berdasarkan keputusan Jabatan Peguam Negara setelah menerima kertas siasatan daripada polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan