Doktor jadi penghasut orang ramai jangan ambil vaksin, kata Exco Kedah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang doktor di Kedah dikesan menghasut orang ramai supaya tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19, kata Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dr Mohd Hayati Othman.

Katanya, doktor itu memuat naik satu video meminta orang ramai tidak mengambil vaksin Covid-19 kerana meragui status halal vaksin berkenaan.

Mohd Hayati berkata, walaupun tindakan doktor terbabit tidak melanggar etika perubatan namun perbuatannya itu tidak baik dari segi moral.

“Sebagai doktor perubatan, beliau sepatutnya membantu kerajaan menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

“Ini tidak, beliau membuat hujahan yang mungkin menyebabkan orang yang melihat video berkenaan membatalkan hasrat mendaftar atau menerima suntikan vaksin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau difahamkan doktor itu yang juga seorang individu yang agak berpengaruh, pernah dijemput menjadi ahli panel dalam beberapa rancangan televisyen.

Mohd Hayati berkata, masyarakat diharap untuk tidak mudah percaya dengan tohmahan doktor terbabit berikutan status vaksin Covid-19 memang sudah diketahui adalah halal.

Katanya, vaksin Covid-19 sudah diijtihad sebagai halal oleh mufti di Malaysia termasuk ulama di Universiti Al-Azhar, Mesir, yang mengharuskan suntikan vaksin demi kepentingan kesihatan dan nyawa.

“Beliau (doktor terbabit) beritahu orang ramai bahawa vaksin ini, ramuannya adalah bahan daripada babi, itu sekadar hujah sedangkan mufti dan ulama ijtihad bukan dari cakap mulut, mereka ada kitab yang dirujuk.

“Begitu juga dengan audio ‘mak teh’ yang tular baru-baru ini, jangan percaya semua itu dan teruslah mendaftar dan datang pada tarikh temu janji,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya sudah memberi nasihat kepada doktor terbabit supaya menghentikan berita tidak sahih yang boleh mempengaruhi orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan