Nahas LRT: Tren berhenti 15 minit sebelum hentakan kuat, penumpang terpelanting

MALAYSIA DATELINE

Seorang mangsa nahas pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) dekat stesen Kampung Baru, malam tadi memberitahu tren berhenti selama 15 minit sebelum kemalangan berlaku.

Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata, tren kemudiannya bergerak semula tetapi tidak sampai 10 saat selepas itu, tiba-tiba berhenti mengejut dan berlaku pelanggaran dengan impak yang sangat kuat.

Berkongsikan pengalamannya, beliau berkata, kemalangan yang berlaku di laluan bawah tanah berdekatan Stesen LRT KLCC itu menyebabkan sebahagian penumpang tercampak dalam tren.

“Ketika dalam perjalanan menuju ke arah stesen Kampung Baru, tren tiba-tiba berhenti mengejut hingga menyebabkan sebahagian penumpang terpelanting dalam tren.

“Keadaan tenang dalam tren tiba-tiba bertukar menjadi panik dengan suara penumpang menjerit.

“Saya cedera di kepala, kaki kiri dan sakit dada,” katanya lapor BH.

Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu negara ketika kejadian dalam perjalanan menuju ke Ara Damansara.

Afiq dan penumpang lain kemudiannya dibawa keluar oleh pasukan keselamatan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Kira-kira jam 8.45 malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang cedera parah manakala 166 penumpang lagi cedera ringan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung.

Pelanggaran melibatkan 213 penumpang dalam tren dari Gombak dan tren tanpa penumpang dari arah Kelana Jaya itu berlaku di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” katanya malam tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan