Najib: Mana kenyataan polis isu Adun PN didakwa rancang insiden rogol?

Malaysiakini 

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan tindakan polis yang menurutnya tidak serta-merta mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan Adun Perikatan Nasional (PN) "merancang" insiden rogol.

Sedangkan, kata ahli parlimen Pekan itu, polis pantas mengeluarkan kenyataan apabila dia dilapor terlupa mengimbas MySejahtera sebelum masuk restoran.

"Berita Najib lupa scan MySejahtera tular, kenyataan polis terus keluar. Berita Dr Mahathir Mohamad lupa scan, kenyataan, polis serta-merta keluar.

"Sebab itu saya pelik kenapa pihak polis belum sempat keluar apa-apa kenyataan berhubung kes seorang gadis membuat laporan polis untuk dakwa Adun PN rancang insiden rogolnya," katanya di Facebook hari ini.

Najib merujuk dakwaan seorang wanita yang mendakwa dirogol kenalan kepada Adun Gombak Setia, Hilman Idham.

Wanita itu mendakwa ahli politik dari Bersatu berkenaan merancang insiden yang berlaku pada 5 Dis lalu.

Menurut laporan polis pada 8 Mei, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah hotel di Selangor, yang pada masa itu berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

"Mereka nyanyi dalam bilik VIP KTV di hotel sampai awal pagi walaupun KTV tidak dibenar beroperasi semasa PKPB dilaksanakan masa itu.

"Mangsa juga sahkan klip video CCTV menunjukkan mereka masuk bilik hotel yang telah tular adalah sahih.

"Tapi belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak polis sehingga kini," kata Najib.

Untuk rekod, pada 7 Mei, Najib didenda RM3,000 kerana tidak mengimbas suhu dan MySejahtera sebelum menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam di Kuala Lumpur.

Sementara Mahathir dituduh melakukan kesalahan serupa ketika menghadiri majlis di Langkawi pada 8 Mei.

"Ramai tertanya-tanya adakah kes rogol tak sama penting dengan kes lupa scan MySejahtera? Mohon ada update.

"Update juga perkembangan kes suami dan anak-anak seseorang VVIP itu yang didakwa menerima hampir RM700 juta dari Jho Low untuk disimpan di akaun bank negara jiran. Kenyataan polis dikeluarkan pada awal Mac tapi masih tiada update setelah tempoh 2 1/2 bulan berlalu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan