Nicholas Chung
PETALING JAYA: Penganalisis politik meramalkan Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad goyah dalam matlamatnya untuk menjadi “kuasa ketiga” dalam pilihan raya ke-15.
Penyelidik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata Pejuang sudah cukup bertuah kalau dapat mengekalkan kerusi, sementara saintis politik Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berkata parti Mahathir itu berdepan laluan yang sukar untuk menjadi kuasa ketiga.
Oh mengakui Mahathir mungkin masih mempunyai tarikan politik dalam kalangan orang Melayu luar bandar, tetapi faktor utama di sini ialah Pejuang tidak mempunyai jentera pilihan raya yang dimiliki oleh gabungan besar.
“Pejuang boleh dianggap beruntung kalau Ahli Parlimennya dapat mempertahankan kerusi mereka. Masih belum nampak bagaimana mereka akan mendapat kerusi lain, dengan tiga lagi gabungan yang mungkin akan bertanding di kerusi sama dan menyingkirkan mereka,” katanya kepada FMT.
Awang Azman berkata faktor yang akan menghalang kejayaan Pejuang sebagai blok ketiga adalah keanggotaannya yang kecil, sehingga menyekat pertumbuhannya di setiap negeri.
Beliau memberitahu FMT agak sukar bagi Pejuang untuk bersaing dengan entiti yang lebih mapan walaupun ada pengaruh Mahathir, dengan menyifatkan parti-parti seperti Umno, PKR, DAP dan bahkan PAS mempunyai pengaruh lebih besar.
“Mereka telah lama ditubuhkan dan memiliki lebih banyak pecahan, cabang dan struktur parti yang kuat.
“Penentangan Mahathir terhadap blok Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional akan menjadikan Pejuang kerdil dari segi kemampuannya untuk bersaing. Dan pendiriannya bahawa manifesto bukan kitab suci akan menyebabkan Pejuang akan terus ditolak,” katanya.
Dalam wawancara dengan sebuah portal baru-baru ini Mahathir berkata, Pejuang akan terus menjadi bloknya sendiri untuk PRU15 dan tidak akan bersatu dengan gabungan lain kerana ingin menjadi kuasa ketiga dalam pilihan raya.
Beliau berkata Pejuang mungkin membentuk gabungan dengan parti-parti “sealiran”, dengan menamakan Warisan pimpinan Shafie Apdal dan MUDA yang dipacu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara khusus.
Oh berkata Warisan akan kehilangan sokongan di Sabah sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan Mahathir walaupun parti itu akan mendapat tempat di Semenanjung.
Katanya kehadiran Warisan di Semenanjung lebih kepada untuk bergabung dengan MUDA atau Pejuang, atau sekurang-kurangnya memberikan perlindungan politik sementara kepada mereka, sekali gus menyerahkan nasib diri kepada kekuatan politik rakan gabungan yang masih belum diuji.
“Mereka perlu mempertimbangkan pertukaran politik itu dengan teliti,” katanya.
Namun Awang Azman berkata hubungan rapat Syed Saddiq dan Shafie dengan Mahathir akan menyukarkan mereka untuk tidak bekerjasama dengan Pejuang.
Tambahnya mereka kelihatan tunduk pada Mahathir, yang sekali gus mempengaruhi keputusan dan nasib parti mereka dalam jangka panjang, terutama sekali dalam membuat keputusan untuk tidak menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri sebelum ini.
“Pengundi akan menganggap Warisan dan MUDA tidak akan maju ke depan selagi mereka terus mempercayai kepemimpinan Mahathir,” katanya.
Pejuang dan MUDA masih belum berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) , tetapi sebelum ini dilaporkan Warisan merancang untuk mengembangkan sayapnya ke Semenanjung dengan kerjasama parti Syed Saddiq.
Selama 22 bulan pemerintahan PH, Shafie dan Syed Saddiq dilihat oleh pemerhati sebagai antara sekutu yang setia kepada Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan