Rumah pesakit Covid-19 penuh diziarahi jiran, pakai ‘gelang’ tapi pergi membeli belah

FAZLI RADZI

Walaupun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kerap mengingatkan rakyat Malaysia untuk sama-sama berjuang memerangi Covid-19 dengan duduk di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), masih ada lagi dilihat bersikap tidak ambil peduli.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan dan Trauma, Dr Alzamani Mohammad Idrose mendedahkan pengalaman pasukannya berdepan dengan tahap kesedaran yang rendah pihak tertentu sekali gus menyukarkan usaha mengawal pandemik membawa maut itu.

“Pasukan ambulans kami respons ambil kes Covid-19 tenat. Di rumahnya, penuh jiran-jiran ziarah.

“Isterinya juga positif Covid-19 pakai gelang tapi pergi shopping. Mereka tak beritahu jiran yang mereka dikuarantin.

“Pesakit itu kritikal kini,” katanya menerusi satu entri di Facebook. 

Untuk rekod, kes kematian harian akibat Covid-19 mencecah puluhan kes setiap hari dengan majoritinya melibatkan individu warga emas atau individu dengan latar belakang penyakit kritikal.

Dalam masa sama, lebih 500 orang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lebih separuh daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Hari ini juga mencatatkan hari kelima berturut-turut, bilangan kes baharu Covid-19 melepasi angka 6,000 iaitu 6,976 kes.

Malaysia sudah merekodkan jumlah keseluruhan 512,091 kes dengan Selangor menjadi negeri teratas merekodkan kes harian tertinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan