BADLISHAH SHAM BAHARIN dan MOHAMMAD ABDUL HAMID
Syawal kali ini hadir dalam suasana yang luar biasa. Pertama, sekali lagi kita menyambut Syawal dalam suasana pandemik Covid-19. Bezanya kali ini, Syawal tiba ketika gelombang pandemik yang lebih dahsyat melanda negara berbanding dengan Syawal tahun lepas.
Dengan jumlah kes baru yang mencecah ribuan setiap hari beserta varian virus yang lebih bahaya, pandemik Covid-19 sudah tentu memberi kesan yang besar dalam kehidupan rakyat di negara ini. Ketibaan Syawal terpaksa disambut tanpa kemeriahan bersama keluarga di kampung, sanak saudara dan sahabat handai.
Akibat pandemik yang melanda, ada dalam kalangan kita yang menghadapi cabaran dari sudut kewangan kerana berkurangnya sumber pendapatan. Ada juga yang sudah hilang sumber pendapatan yang tetap. Tidak kurang pula yang menghadapi tekanan psikologi yang menjejaskan kesihatan mental dan ikatan perhubungan sesama ahli keluarga mahupun rakan taulan.
Marilah kita mendoakan semoga semua rakyat Malaysia diberi kekuatan dan kesabaran untuk bertahan, khususnya dalam masa beberapa minggu yang akan datang.
Bantuan dari sudut kewangan mahupun bentuk-bentuk lain diharap dapat disalurkan kepada isi rumah-isi rumah yang terjejas berdasarkan keperluan masing-masing. Tanpa bantuan yang sewajarnya, dikhuatiri pandemik yang berlarutan akan membawa kepada isu-isu sosioekonomi yang lebih besar pada masa akan datang.
Apa pun, di sebalik pandemik yang melanda, di sana juga ada hikmah, sama ada yang kita dapat lihat dengan jelas mahupun yang tersembunyi.
Antara lain, hikmah pandemik yang melanda adalah:
1) Meningkatkan rasa prihatin dan empati kepada mereka yang kurang bernasib baik. Dengan itu, ia akan melahirkan rasa syukur yang mudah-mudahan dapat menjadikan kita insan yang lebih bermurah hati dan membuahkan kepada amalan sedekah.
Ramai dalam kalangan umat Islam yang begitu dermawan pada bulan Ramadan. Mudah-mudahan amalan ini dapat diteruskan pada bulan Syawal yang mulia dan pada bulan-bulan lain juga.
2) Mengurangkan pembaziran memandangkan aktiviti ziarah dan rumah terbuka tidak boleh dilakukan. Sebagaimana maklum, saban tahun, pembaziran makanan merupakan satu permasalahan di negara kita. Penjimatan dari kos penyediaan juadah sempena Syawal dapat disalurkan untuk bersedekah atau tujuan-tujuan lain yang bermanfaat.
Kedua, Syawal pada tahun ini disambut ketika umat Islam di Baitulmaqdis ditimpa satu ujian yang getir. Hak saudara kita di sana diragut melalui keganasan rejim Zionis yang kini telah meragut nyawa yang terdiri dari wanita dan kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, tindakan tidak bertanggungjawab Israel telah mengakibatkan kerosakan harta benda. Ketika rencana ini ditulis, krisis yang melanda belum ada petunjuk jalan penyelesaian.
Marilah kita mendoakan semoga umat Islam di Baitulmaqdis dan Palestin secara umumnya diberi kekuatan untuk menghadapi musibah yang melanda. Kita juga boleh menghulurkan sumbangan kepada umat Islam di Palestin melalui badan-badan kemanusiaan yang diiktiraf seperti MyCARE, Islamic Relief Malaysia dan lain-lain.
Ujian yang menimpa umat Islam di Palestin mengingatkan kita betapa masih masih banyak cabaran yang melanda dunia Islam, termasuklah di tanah air kita.
Semoga ujian yang melanda dapat menimbulkan kesedaran dan meningkatkan semangat serta komitmen kita untuk berjuang dan berusaha meningkatkan tahap sosioekonomi dan politik umat Islam.
Apabila umat Islam sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengangkat martabat umat, sekali gus kesedaran tersebut akan memberi kesan dalam usaha untuk meningkatkan kemuliaan insan sejagat.
Ini kerana terdapat hubungan yang rapat antara pembelaan umat Islam di Palestin dan pembelaan manusia lain yang tertindas tidak kira di mana juga mereka berada.
Dengan itu, barulah keadilan sejagat akan terhasil untuk semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Inilah konsep kesejagatan dan keadilan yang dibawa oleh Islam, membawa rahmah bagi sekalian alam.
Rumusannya, tiba Syawal kali ini memberi peringatan besar kepada umat Islam agar sentiasa bersyukur dan tidak mudah leka dengan pelbagai nikmat yang kita perolehi, sama ada nikmat berinteraksi secara fizikal mahupun nikmat rezeki.
Perjuangan untuk menghapuskan pandemik Covid-19 adalah satu perjuangan yang mesti kita teruskan dengan meningkatkan disiplin diri, keluarga dan rakan taulan selaras dengan SOP yang telah ditetapkan.
Tidak kurang penting juga, Syawal kali ini hadir sebagai peniup perjuangan untuk kita lebih gigih berusaha demi meningkatkan martabat umat Islam di negara ini malahan di dunia sejagat juga.
Penulis adalah pemimpin dan aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan