FMT Reporters
PETALING JAYA: Sepuluh orang ditahan dan 21 kertas siasatan dibuka di bawah Ordinan Darurat yang berkuat kuasa 12 Mac lalu ke atas penghasilan dan penularan berita tidak benar berkaitan Covid-19 atau perisytiharan darurat.
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tiga daripada individu itu akan didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021, manakala tujuh lagi dibebaskan dengan jaminan polis sehingga siasatan selesai.
Beliau berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen.
Katanya, Ordinan Darurat memberi kuasa kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menahan tanpa waran individu atau pertubuhan yang cuba menyebarkan berita tidak benar, khasnya di media sosial.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,00 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.
Acryl Sani menasihatkan orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan berhati-hati ketika berkongsi penerbitan mengandungi berita tidak benar berhubung langkah kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Beliau turut memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja menyebarkan berita tidak benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan