“4 Penjawat awam” dicekup hadir ‘private party’ di hotel dipercayai polis

Frankie D'Cruz

Empat penjawat awam yang ditahan bersama 28 orang lain di sebuah hotel di sini dipercayai polis, termasuk seorang inspektor di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. (Gambar PDRM)

KUALA LUMPUR: Tiga pegawai polis dan seorang konstabel adalah antara 32 yang ditahan awal pagi Ahad disyaki terlibat dalam “parti liar” di sebuah hotel di Jalan Pinang di sini.

Sumber berkata seorang daripadanya pegawai berpangkat inspektor yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Dua lagi adalah timbalan superintendan di Ibu Pejabat Polis Selangor dan seorang inspektor di bahagian narkotik di Pulau Pinang. Konstabel polis terlibat pula bertugas di Jinjang.

Dipercayai seorang daripadanya menganjurkan pesta itu yang dihadiri lapan warga asing dan 18 wanita, berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Tiada barangan menyalahi undang-undnag ditemui dalam serbuan jam 2 pagi itu.

Ketua Polis Dang Wang, Mohamad Zainal Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata empat penjawat awam ditahan dalam serbuan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati bilik hotel tersebut ditempah untuk tujuan “private party” oleh penjawat awam tersebut dengan bayaran RM500 hingga RM700.

“Seramai 20 orang warga tempatan dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 manakala kertas siasatan dibuka ke atas lapan warga asing dan empat penjawat awam yang ditahan,” katanya dalam kenyataan.

Kes tersebut telah menimbulkan persoalan mengenai bagaimana pihak pengurusan hotel membenarkan tempahan bilik untuk kumpulan besar semasa sekatan pergerakan penuh dan sama ada protokol Covid-19 dipatuhi.

Masih tidak diketahui apakah tindakan yang akan diambil terhadap hotel terbabit. Ketika dihubungi, pengurus besarnya enggan mengulas lanjut.

FMT turut menghubungi Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim dan Mohamad Zainal untuk mengulas lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan