Animasi papar polis lumur serbuk cili, thinner pada luka tahanan

Geraldine Tong

image placeholder

Sebuah tayangan animasi pendek berjudul 'Chilli Powder and Thinner' yang menceritakan pengalaman tahanan menghadapi keganasan polis ketika berada di lokap dilancarkan malam tadi.

Tayangan animasi ini dibawakan bersama oleh Suaram dan FreedomFilmFest.

‘Chilli Powder and Thinner’  digarap berdasarkan kisah benar seorang remaja, San (bukan nama sebenar) yang ditangkap dan dipukul oleh polis bersama dua individu lain, menurut Suaram.

Dalam animasi itu, mereka dipaparkan diikat dan dipukul dengan benda seperti cota kayu dan getah paip, sebelum badan mereka dilumurkan dengan serbuk cili dan cecair thinner.

"Animasi ini mengenai penyeksaan yang dialami oleh seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ketika di lokap polis," kata pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Serbuk cili dan cecair thinner digosokkan ke atas luka di badan remaja lelaki itu untuk memaksanya membuat pengakuan, katanya.

Dia mendedahkan bahawa Suaram telah terlibat dalam kes remaja berkenaan yang ditangkap kerana disyaki memiliki barang curi.

Sevan mendakwa remaja lelaki itu bersedia untuk bekerjasama tetapi "diseksa dengan cara yang kejam", bersama dengan dua tahanan lain yang kemudian meninggal dunia.

“Oleh itu, remaja lelaki berusia 16 tahun itu menjadi saksi mata penyeksaan itu.

"Dia dibebaskan dan ditangkap semula oleh polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) kerana remaja itu disenaraikan sebagai saksi mata oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam siasatan mereka atas kes kematian dalam tahanan itu,” katanya.

Sevan juga menegaskan Poca adalah undang-undang yang bertujuan untuk menangani penjenayah tegar, bukan remaja yang ditangkap kerana disyaki memiliki barang curi.

Kematian dalam tahanan mendapat perhatian masyarakat kerana sekurang-kurangnya terdapat empat kematian yang dilaporkan sejak pertengahan April.

Peniaga susu lembu A Ganapathy meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April lalu.

Keluarganya berkata dia ditangkap pada 24 Februari dan polis memaklumkan pada pada 8 Mac bahawa dia telah dibebaskan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang.

Terdahulu, pemandu lori Umar Faruq Abdullah @ Hemananthan dilaporkan telah meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 3 Jun.

Pada 20 Mei pula, pengawal keselamatan S Sivabalan meninggal dunia di Balai Polis Gombak. Seminggu kemudian, Surendran Shanker meninggal semasa dalam tahanan di Penjara Simpang Renggam, Johor.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan