Sanitasi awam: Setiausaha Zuraida nasihatkan pakar perubatan
Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nor Hizwan Ahmad menasihatkan Dr Adeeba Kamarulzaman menumpukan perhatian kepada kes Covid-19 di Selangor berbanding mengkritik program sanitasi awam dijalankan kementerian terbabit.
Mengingatkan pakar penyakit berjangkit yang juga panel Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu sebagai ahli Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor, Nor Hizwan berkata negeri terbabit mencatatkan kes baru setiap hari.
Tegas Nor Hizwan, di kala penularan wabak Covid-19 dengan varian baru sekarang, rakyat memerlukan jaminan dan menghargai sebarang usaha kerajaan meminimumkan risiko jangkitan, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai kes aktif.
“Oleh itu, saya menyeru Dr Adeeba yang juga merupakan salah seorang panel dalam Task Force Covid-19 Selangor untuk menumpukan fokus beliau kepada Selangor yang mencatat kes tertinggi seluruh negara saban hari.
“Marilah bersama mencari jalan keluar kerana sekarang bukan masanya untuk mencari salah sesiapa," katanya dalam kenyataan media petang ini.
Pada 29 Mei lalu Adeeba mempersoalkan program sanitasi awam berskala besar yang dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang disifatkannya sebagai pembaziran sumber daya yang terhad sedangkan ia boleh disalurkan untuk memperoleh alatan yang lebih diperlukan pasukan perubatan.
Untuk rekod Adeeba bukanlah satu-satunya pakar yang tidak bersetuju dengan program KPKT tersebut. Turut bersuara seorang lagi pakar kesihatan awam Dr Lokman Hakim dan pendirian mereka disokong Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM).
Tidak disyorkan pakar dunia
Dalam kenyataan dikeluarkan persatuan itu, mereka berpendapat tindakan tanpa bersasar KPKT itu dibuat tanpa mengambil kira maklumat sains terkini, justeru merupakan pembaziran.
PPPKAM juga bimbang proses yang dilakukan itu boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pula meminta semua pihak berhenti meremehkan program sanitasi awam oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sejak tahun lepas.
Ketua Pengarah JBPM Hamdan Wahid kemudian mempertahankan sanitasi awam yang dakwanya disyorkan WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pun begitu, Adeeba memetik panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat yang dikemas kini, bahawa keberkesanan sanitasi berskala besar sebagai langkah pencegahan Covid-19 adalah tidak disyorkan.
Untuk beberapa ketika Selangor memang mencatat kes jangkitan harian Covid-19 tertinggi dengan jumlahnya melebihi empat angka berbanding negeri lain.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyandarkan catatan harian tinggi itu direkodkan kerana inisiatif kerajaan negeri melaksanakan ujian saringan percuma yang besar-besaran untuk penduduk negeri terbabit.
Berdasarkan panduan CDC dalam kebanyakan situasi, mencuci permukaan menggunakan sabun atau detergen adalah memadai untuk mengurangkan sebarang kewujudan koronavirus, manakala nyah jangkitan disyorkan dibuat dalam kawasan tertutup yang lebih kecil apabila ada kes disyaki/disahkan dalam masa 24 jam.
Perunding pakar pediatrik Dr Amar Singh HSS turut berkongsi petikan tambahan daripada panduan CDC yang menyatakan bahawa penyemburan berskala besar atau fumigasi untuk virus Covid-19 atau patogen lain tidak disyorkan dilakukan di ruang terbuka.
Kata Nor Hizwan semua pihak yang mengkritik usaha KPKT perlu akur dan menghargai sebarang usaha kerajaan memastikan penularan Covid-19 dalam negara ini dapat diturunkan .
Katanya usaha berkenaan - yang setakat ini melibatkan 26,000 operasi sanitasi seluruh negara - dipersetujui dan diluluskan kerajaan, malah ia mahu dijadikan satu “budaya dalam masyarakat”.
“Sanitasi awam ini juga merupakan salah satu terapan norma baharu yang ingin dijadikan budaya dalam masyarakat agar masyarakat sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih dan sihat,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan