Dah sampai masa kerajaan PN undur cara 'terhormat'

Malaysiakini

Pelan Pemulihan Negara hanyalah penjenamaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak tahun lalu, kata Pemuda Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir, Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir dan Ketua Pemuda DAP Howard Lee memperbaharui gesaan mereka supaya kerajaan Perikatan Nasional supaya melepaskan kuasa.

"(Pelan) yang dibentangkan oleh perdana menteri (Muhyiddin Yassin) semalam adalah satu pelan kitar semula yang tidak merangkumi apa-apa tindakan baru untuk memulihkan negara daripada wabak pandemik Covid-19.

"Pelan itu hanya gah daripada nama, namun tidak mempunyai satu perancangan yang holistik untuk membawa negara keluar daripada masalah pandemik ini," kata mereka.

"Tiada langsung satu nilai tambah terhadap pelaksanaan PKP secara berfasa ini.

"SOP yang tidak jelas masih lagi menghantui rakyat. Pelbagai pengecualian diberikan kepada sektor ekonomi tidak memberi natijah yang baik terhadap pengawalan wabak Covid-19," kata mereka lagi.

Pemuda PH juga mengkritik pelan pemulihan empat fasa yang tidak langsung menyebut sektor pendidikan dan sektor-sektor lain yang terkesan teruk akibat wabak Covid-19.

"Sebagai contoh, kerajaan akan membenarkan 80% kapasiti pekerja kepada sektor ekonomi pada Fasa Kedua. Walhal sektor ekonomi lah menjadi penyumbang terbesar kepada kenaikan angka kes harian.

"Isu kebajikan rakyat dan bagaimana cara untuk meringankan beban rakyat langsung tidak diberi perhatian. Tiada sebarang inisiatif ataupun bantuan tambahan disentuh oleh kerajaan dalam pelan itu. Perancangan kerajaan terhadap program vaksinasi juga tidak disebut dengan jelas dalam Pelan Pemulihan Negara.

"Ini bermakna, rakyat dijangka akan terus merana sehingga penghujung tahun 2021 berdasarkan syarat nilai ambang yang diletakkan oleh pihak kerajaan," kata mereka.

Pemuda PH turut membangkitkan soal perdana menteri berulang-ulang kali menyatakan kerisauannya terhadap impak pandemik dan juga pelaksanaan “lockdown” terhadap ekonomi negara.

"Tanpa langsung menyatakan simpati dan juga kerisauan beliau terhadap kadar kematian yang kian meningkat sejak kebelakangan ini," kata mereka.

"Apakah nyawa rakyat sudah lagi tidak ada nilai pada mata penilaian perdana menteri," soalnya.

"Secara keseluruhan, kami dapati bahawa pelan ini merupakan satu tindakan melulu untuk membuktikan ‘keprihatinan’ kerajaan.

"Pelan ini secara tidak langsung telah membayangi Pelan Pemulihan Ekonomi 6R yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) pada pembentangan Belanjawan 2021 (April) yang lalu.

"Adakah Pelan Pemulihan Negara hanyalah sebagai satu ‘pelan kecemasan’ untuk menutup kegagalan Pelan Pemulihan Ekonomi yang lalu," soal mereka lagi.

Pemuda PH berkata pelan pemulihan itu hanyalah "satu pelan retorik untuk menutup kegagalan kerajaan dalam mengawal pandemik ini."

"Sudah sampai masanya untuk kerajaan memohon maaf dan berundur secara ‘terhormat’.

"Kembalikan semula kepimpinan yang mampu menerajui negara keluar daripada wabak pandemik Covid-19 serta masalah kemunduran ekonomi yang telah menghantui negara sejak setahun yang lalu," gesa mereka.

Muhyiddin semalam mengumumkan rancangan pemulihan yang menggariskan kriteria yang mesti dipenuhi agar sekatan Covid-19 dapat dilonggarkan dalam empat fasa.

Pada masa ini, hanya perkhidmatan ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi.

Walau bagaimanapun, kerajaan berharap dapat beralih ke Fasa 2 pada bulan Julai di mana beberapa sektor ekonomi akan dibenar beroperasi sekiranya kes harian purata jatuh di bawah 4,000 kes.

Putrajaya menjangkakan peralihan ke Fasa 3 menjelang bulan September di mana sektor sosial juga dijangka akan dibuka semula sekiranya kes harian rata-rata merosot di bawah 2,000 dan kadar vaksinasi mencecah 40 peratus.

Menjelang November pula, kerajaan mengharapkan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya jika kes harian rata-rata boleh turun di bawah 500 dan kadar vaksinasi mencapai 60 peratus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan