Duduk di KK, janji temu vaksin di Pinang, pengguna pertikai MySejahtera

Durie Rainer Fong

Aplikasi MySejahtera memberikan penduduk Kota Kinabalu ini janji temu vaksinasi di Pulau Pinang. (Gambar DAP Sabah)

KOTA KINABALU: Seorang lelaki di Kota Kinabalu mendapat janji temu untuk suntikan vaksin di Pulau Pinang, kata DAP Sabah.

Setiausahanya, Chan Foong Hin berkata ia satu daripada dua aduan diterima rakyat Sabah berhubung janji temu suntikan mereka yang dipercayai akibat kesilapan dalam aplikasi MySejahtera.

Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, dalam kes pertama penduduk Luyang di sini mengadu aplikasi itu menetapkan janji temu suntikan vaksinnya di Kudat, lebih 300km di utara ibu negeri itu.

“Kes kedua lebih teruk lagi, melibatkan penduduk Kota Kinabalu yang menerima notis daripada MySejahtera bahawa vaksinasinya akan dilakukan di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Chan, lelaki itu diberi janji temu vaksinasi di Dewan Milineum Kepala Batas, Seberang Perai Utara pada 9 Jun.

Katanya, kedua-dua kes dirujuk kepada Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi yang telah berjanji membantu mereka menukar lokasi suntikan.

Beliau susulan itu menggesa Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memastikan isu melibatkan MySejahtera itu diselesaikan secara berkesan untuk mengelak kesilapan lanjut.

“Bagaimanakah MySejahtera, yang dilaporkan menelan belanja jutaan ringgit, mempunyai kesilapan yang begitu asas?” soalnya.

Seorang lagi penduduk Kota Kinabalu diberi janji temu di Kudat, 300km dari situ. (Gambar DAP Sabah)

Chan berkata, parti itu mengerahkan ahlinya membantu orang ramai untuk mendaftar bagi vaksinasi Covid-19 menerusi MySejahtera dan membantu kerajaan mempercepatkan program imunisasi.

“Namun sedihnya kesilapan asas seperti ini pasti akan mengurangkan keyakinan terhadap aplikasi berkenaan seterusnya menjejaskan usaha vaksinasi Covid-19 kebangsaan.”

Sementara itu, Chan berkata ramai warga tua dan pesakit dengan komorbiditi yang masih menunggu untuk menerima notis vaksinasi di MySejahtera, walaupun tersenarai sebagai kumpulan diberi keutamaan dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, Masidi Manjun yang juga jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, mengumumkan awal tahun ini bahawa pelan vaksinasi negeri itu sepatutnya bermula pada 26 Feb dan mengambil masa sehingga setahun untuk disempurnakan.

“Sasarannya adalah untuk memvaksin 3 juta orang di Sabah. Berdasarkan itu, di Sabah saja purata 250,000 orang perlu disuntik vaksin setiap bulan secara berterusan selama 12 bulan.

“Bagaimanapun, setakat 31 Mei kurang daripada 150,000 orang telah menerima vaksin di Sabah. Bagaimana kita mahu mencapai sasarannya dalam setahun?” soalnya.

Sementara itu, Khairy dilaporkan berkata semalam, isu kesilapan dalam menetapkan pusat vaksin telah diselesaikan.

Menurutnya, ramai orang diberi janji temu di negeri lain disebabkan masalah dengan Google Maps API yang digunakan MySejahtera.

Katanya, ciri tambahan telah dimasukkan ke aplikasi itu dan pengguna kini boleh mengesahkan butiran alamat termasuk negeri dan poskod.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan