Hassan Abdul Karim: ‘Adakah kita hendak campak ahli PKR untuk dilanggar sesiapa’

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menjadi satu-satunya pemimpin PKR yang mempersoalkan pendirian parti itu apabila salah seorang ahlinya ditahan berhubung kenyataan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Memandangkan ahli parti itu, Iswardy Morny tidak menyandang sebarang jawatan rasmi dalam parti, Hassan mempersoalkan adakah wajar parti mengabaikan atau "mencampakkannya" begitu sahaja.

“Benar Iswardy tidak pegang apa-apa jawatan rasmi dalam parti, tetapi dia tetap seorang anggota PKR. Isunya: adakah kita hendak abandon (tinggalkan) atau campakkan dia begitu saja? Adakah kita hendak buang Iswardy ke lebuh raya untuk dilanggar sesiapa?

“Iswardy disiasat antara lainnya di bawah Akta Hasutan. Tidakkah PKR berpendirian untuk mansuhkan Akta Hasutan.

“Adakah kita sudah tidak berminat lagi dalam reformasi undang-undang sebegini?” soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Iswardy ditahan pada 29 Mei selepas videonya di YouTube tular di media sosial.

Selain Akta Hasutan, dia juga disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Susulan itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata kenyataan Iswardy tidak mewakili PKR dan parti itu menunggu siasatan polis sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap Iswardy.

"Kenyataan dia tidak sama sekali mewakili pendirian PKR, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti.

"Ucapannya di dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik PKR, dan keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepadanya," kata Fahmi dalam kenyataan.

Sementara itu, pelbagai pihak, termasuk seteru PKR turut meminta agar tindakan diambil mengenai perkara itu.

Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, mengingatkan bahawa perbuatan menghina Agong boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam.

Menurutnya Kementerian Dalam Negeri memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang Di-Pertuan Agong dan Institusi Diraja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan