Jangan sampai raja murka

Atriza Umar

Sedari kecil, sejak di bangku tadika atau sekolah lagi kita telah diajar berikrar, melafazkan Rukun Negara.

Masih saya ingat lagi, selesai saja menyanyikan lagu Negaraku, semua pelajar perlu mengikut ikrar yang dibacakan oleh ketua pengawas di hadapan perhimpunan, dengan tegas dan sesungguhnya:

• Kepercayaan kepada Tuhan

• Kesetiaan kepada raja dan negara

• Keluhuran perlembagaan

• Kedaulatan undang-undang

• Kesopanan dan kesusilaan

Masihkah kita mengingatinya? Boleh jadi mereka yang seangkatan usia saya melalui situasi begitu ketika berhimpun pada awal minggu persekolahan, iaitu pada hari Isnin.

Betapa sedari awal usia di bangku sekolah, kita telah didedahkan mengenal dan berikrar (percaya dan meyakini) dengan lima Prinsip Rukun Negara itu.

Namun, sejauh mana kita semua, dari pemimpin hingga rakyat jelata, tidak kira golongan ‘kayangan’, netizen, marhaen mengaplikasikan prinsip tersebut dalam kehidupan?

Untuk kita sebagai seorang Islam, suka saya memetik maksud ayat-ayat Allah dalam Surah As-Saff ayat 2 dan 3:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

Maka dengan itu, seharusnya kita menterjemahkan prinsip yang telah diikrarkan itu tanpa berdalih lagi.

7 perkara utama usul raja-raja Melayu

Sebagaimana kita rakyat ketahui, telah berlangsungnya Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang semalam, 16 Jun 2021.

Sebelumnya, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah, telah berkenan menerima mengadap 18 pemimpin politik kerajaan dan pembangkang secara bersemuka dan maya bermula 9 Jun hingga 15 Jun 2021.

Seri Paduka turut menerima mengadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Arifin Zakaria dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Dan ini merupakan kali kedua perbincangan khas raja-raja Melayu diadakan sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta pada 31 Jan 2019, yang mesyuarat pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Selain itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pakar agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi.

Perjumpaan yang dihadiri oleh sembilan Raja Melayu itu telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka lagi berterus terang bersama semangat saling menghormati.

Ia juga dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat ketetapan secara bijaksana.

Dalam pertemuan itu, raja-raja pemerintah mengemukakan tujuh perkara utama yang berbalik kepada kemaslahatan negara dan rakyat yang perlu ditangani segera iaitu:

1. Negara sedang menghadapi wabak Covid-19 dengan angka jangkitan harian yang besar meskipun telah berada dalam pemerintahan darurat.

2. Keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan.

3. Suasana politik negara yang tidak stabil.

4. Perpaduan rakyat yang semakin retak.

5. Kesusahan yang sangat dihadapi oleh rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

6. Suasana pekerjaan, suasana hidup dan suasana pembelajaran di sekolah dan pusat-pusat pengajian yang terjejas dan menimbulkan pelbagai kerumitan.

7. Umat Islam yang tidak dapat melakukan program-program ibadah di masjid dan surau terutama untuk menunaikan solat Jumaat. Demikian juga penganut-penganut agama lain yang turut terhalang daripada berpeluang melakukan urusan agama masing-masing.

Jika dilihat kepada perkara yang diketengahkan raja-raja Melayu itu, secara jelasnya ia adalah tentang keperluan rakyat ketika ini.

Dan tentunya, selama ini, kita sebagai rakyat sangat inginkan semua ini diambil peduli dan diberi perhatian.

Siapa lagi yang boleh diharapkan setelah pemimpin negara kita tidak mempedulikan terhadap apa yang sedang dilalui rakyat ketika ini, melainkan raja-raja Melayu?

Sampai bila nak berdolak-dalik?

Kepentingan dan maruah institusi berparlimen yang telah diragut oleh kepimpinan negara ketika ini sangat memberikan impak yang tidak baik bagi terhadap sistem demokrasi yang hebat dilaungkan sebelum ini.

Sewajarnya kerajaan yang ada sekarang mengambil sikap lebih telus dengan menerima hakikat bahawa keadaan rakyat dan negara sudah semakin teruk.

Sebagaimana raja-raja Melayu dalam pertemuan semalam bersepakat;

1. Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

2. Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan karenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

3. Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

4. Kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.

5. Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.

6. Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

7. Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Menerusi kesepakatan raja-raja Melayu itu, seharusnya kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) perlulah sedar akan hal ini. Tidak perlu banyak berdalih lagi, kerana inilah masanya kerajaan mengaplikasikan lima Rukun Negara yang diikrarkan itu.

Sebagaimana kata Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, pandangan tersebut jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu terhadap segala keresahan serta kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.

Akurlah titah bijaksana Yang di-Pertuan Agong

Dalam kenyataannya hari ini, Pertubuhan Ikram Malaysia menjunjung kasih titah, pendirian dan pandangan-pandangan yang dikemukakan dengan penuh bijaksana oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

“Ikram merafakkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu yang telah mendengar suara hati rakyat yang ditimpa pelbagai beban kesusahan akibat wabak Covid-19, keadaan ekonomi dan sosial yang membimbangkan dan suasana politik yang tidak stabil,” demikian kata Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Justeru, Ikram menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pendirian agar Parlimen segera bersidang sebagai mekanisme semak dan imbang untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Beliau berkata, titah tersebut adalah sejajar dengan cadangan yang telah dikemukakan secara bersama oleh Ikram serta 40 rakan pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil pada 15 Jun 2021.

Jangan nafikan titah raja

Melihat kepada ulasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata, Tuanku hanya berpandangan supaya sidang parlimen diadakan secepat mungkin.

Walaupun dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong menyatakan agar persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin, dapat lihat di sini seakan Takiyuddin mempertikaikan saranan Majlis Raja-Raja Melayu itu.

Beliau yang juga ahli parlimen Kota Bharu itu berkata bahawa parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, juga bertepatan dengan saranan “secepat mungkin” yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.

Seharusnya beliau mengambil sikap menyarankan perdana menteri mengadakan segera sidang parlimen, bukan membalas dengan pandangan beliau yang seakan mahu bertangguh daripada melaksanakan titah tersebut.

"Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin. Perdana menteri kata pun September atau Oktober. Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September… sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan," katanya pada Bicara Harakah bertajuk “Proklamasi darurat: Berjaya atau sebaliknya” yang disiarkan secara maya.

Daripada kenyataan Takiyuddin itu juga dapat dirumuskan bahawa dirinya seakan menidakkan apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, itu.

Justeru, kita sebagai rakyat perlulah bersuara menzahirkan amarah dengan menteri ini yang membuat kenyataan sedemikian yang ingkar kepada titah raja. 

Buka parlimen atau undur diri?

“Kalau dah dua kali ayah suruh mandi, faham-fahamlah,” selar bekas menteri pertanian, Ahmad Shabery Cheek kepada Takiyuddin melalui statusnya Facebooknya.

 Beliau yang juga merupakan senior kepada Takiyuddin di Universiti Malaya menyindir seolah-olah Takiyuddin buat-buat tidak faham dengan titah Agong agar diadakan segera sidang Parlimen.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi berharap tidak ada lagi taktik untuk melengah-lengahkan titah Yang Dipertuan Agong itu.

“Semoga PM ke-8 ini akan patuh pada titah YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Semoga tidak ada lagi delay tactic,” kata beliau menerusi facebooknya.

Dr Puad juga mendesak agar Menteri Luar daripada Umno, Hishammuddin Hussein turut mendesak kabinet supaya Kerajaan PN patuh kepada titah YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong, bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Titah itu jelas menunjukkan bahawa perdana menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin,” kata PH.

Bagaimanapun menurut PH, jika Mahiaddin Md Yasin enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri.

Maka, segeralah bertindak wahai kerajaan PN!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan