‘Lupakan’ MN, PAS pentingkan kuasa, kedudukan, Nur Jazlan beritahu Umno

K. Parkaran

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno menggesa partinya mempertimbangkan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disebabkan kecenderungan parti Islam itu terhadap kuasa, kedudukan dan wang.

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata, Umno tidak lagi boleh mengharapkan PAS bersikap ikhlas mendokong tanggungjawabnya sebagai rakan sekutu dalam MN.

“Umno telah lama menyimpan syak terhadap pemimpin PAS…akhir-akhir ini, mereka kelihatan lebih berminat memperolehi kuasa dan kedudukan, malah dalam keadaan tertentu, wang (juga menjadi keutamaan).

“Dalam kes melibatkan (tanah) Lembaga Getah Malaysia (LGM), ternyata ada beberapa dakwaan yang cukup serius,” kata beliau kepada FMT. 

Nur Jazlan merujuk kontroversi rancangan pajakan dan jualan tanah bernilai tinggi milik LGM yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, yang juga pengarah strategi PAS.

Bekas pengerusi LGM, Ahmad Nazlan Idris menuduh Khairuddin campur tangan dalam isu itu, namun pemimpin PAS itu menyifatkan serangan terhadapnya sebagai fitnah didalangi pihak yang mesra dengan sebahagian pimpinan Umno.

Khairuddin berkata, beliau tetap komited memperkukuhkan MN yang diasaskan Umno-PAS tahun lalu dalam menghadapi PRU15, khususnya untuk mengelakkan pertembungan sesama mereka dalam menentang Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Nur Jazlan menolak MN dan menuduh PAS sebagai parti yang gagal mempamerkan tadbir urus baik di beberapa negeri pimpinannya dari dahulu hingga sekarang.

“Kegagalan kerajaan negeri di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang sebagai menteri besar dari 1999 hingga 2004 adalah contoh urus tadbir lemah yang saya maksudkan.”

Beliau mendakwa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, lebih memihak kepada PAS berbanding Umno, malah enggan mengambil tindakan terhadap menteri PAS yang cuai.

Beliau berkata, sikap Muhyiddin itu bertujuan memecahbelahkan hubungan PAS-Umno.

PAS dilihat sebagai sekutu utama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). Umno bukan parti komponen PN, tetapi menyertai kerajaan pimpinan Muhyiddin Februari tahun lalu.

Bagaimanapun, hubungan renggang antara Umno-Bersatu menyebabkan Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin menjelang PRU15 atau lebih awal.

Selama ini, PAS mendakwa komited memperkukuhkan kerjasama dengan Bersatu dalam PN dan Umno menerusi MN.

Bagaimanapun, desakan di dalam Umno semakin lantang untuk parti itu memberi kata dua kepada PAS untuk memilih Umno atau Bersatu sebagai rakan sekutunya pada PRU15.

PAS dilihat tidak membuat ketetapan jelas, namun beberapa pemimpinnya bingkas mengkritik pimpinan Umno dari semasa ke semasa.

Kalangan pemimpin Umno juga mula “mengasak” pucuk pimpinan PAS, sekali gus memberi tekanan kepada hubungan dua parti itu.

Hadi sebelum ini memutuskan PAS tidak akan mengadakan rundingan pengagihan kerusi dengan Umno atas alasan parti itu perlu menyelesaikan masalah kepimpinan dalamannya.

Bagaimanapun, PAS bersetuju mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kelangsungan MN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan