Nama Ku Li trending selepas dicadangkan jadi PM Interim

SYAIRAH BINTI ABDUL LAJIS

SHAH ALAM - Nama veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li menjadi trending di Twitter apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mencadangkan agar Ahli Parlimen Gua Musang itu dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Mohd Zaid menyatakan perkara tersebut menerusi ciapan di Twitter pada Rabu berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah memanggil beberapa pemimpin politik untuk menghadap secara berasingan bagi membincangkan mengenai isu semasa negara.

Menurut Mohd Zaid, walaupun perbincangan Yang di-Pertuan Agong itu tertumpu kepada proklamasi darurat, namun negara memerlukan seorang Perdana Menteri Interim bagi menerajui negara buat sementara waktu.

Sehingga jam 1.30 petang Rabu, nama Ku Li terus trending sehingga 1,486 ulang ciap dan terus meningkat, manakala ciapan Mohd Zaid mendapat lebih 258 tanda suka serta 250 ulang ciap daripada netizen.

Rata-rata netizen pula memberi pandangan masing-masing, ada yang bersetuju dan tidak kurang menolak cadangan tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menerajui kepimpinan negara dan tiada desas desus meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pada pagi Rabu, Muhyiddin dilaporkan menghadap Al-Sultan Abdullah selama satu jam di Istana Negara untuk membincangkan mesyuarat Pra-Kabinet.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengesahkan beliau mengemukakan rayuan penamatan proklamasi darurat kepada Yang di-Pertuan Agong pada pertemuan di Istana Negara dan bukannya pertukaran kerajaan.

Menurut Anwar, masyarakat harus tahu bahawa Al-Sultan Abdullah begitu arif mengenai perkembangan semasa yang turut diperoleh menerusi pandangan pakar lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan