PAS tetap sokong Muhyiddin, kata Hadi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang terus menyatakan sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sokongan itu hadir selepas banyak spekulasi berlegar ketika Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap pemimpin politik negara bermula hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Hadi turut mengecam beberapa pihak yang masih enggan berhenti berpolitik ketika pandemik Covid-19 semakin memburuk di seluruh negara.

“PAS memahami keadaan darurat pandemik Covid-19 dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara,” katanya. 

Meskipun demikian, katanya, masih ada pihak yang tidak mahu berhenti dan cuba mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri.

“PAS terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.

“Setelah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengikut lunas demokrasi, PAS yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal, kerana PAS meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan,” katanya.

Agong dijangka bertemu beberapa pemimpin parti politik secara berasingan dalam dua hari ini bagi membincangkan penamatan darurat dan pembukaan semula Parlimen.

Ia juga susulan rasa tidak puas hati rakyat terhadap cara kerajaan menangani dan menguruskan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin mengesahkan pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil menghadap Agong esok.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang berada di Istana Negara pagi tadi selama hampir sejam setengah berkata, perbincangan bersama Agong tertumpu kepada darurat dan langkah untuk memerangi pandemik.

Menurut beliau, tidak ada langsung perbincangan kemungkinan pembentukan kerajaan baharu.

Pertemuan dengan ketua parti politik itu diadakan menjelang Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadualkan Rabu depan bagi membincangkan krisis Covid-19, menurut laporan Straits Times Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan