Penyair prodemokrasi Myanmar maut lepas dibakar hidup-hidup

Malaysiakini

image placeholder
Seorang penyair yang juga aktivis prodemokrasi Myanmar, Ko Sein Win, maut selepas dia diserang dan dibakar hidup-hidup di bandar Monywa, daerah Sagaing di tengah negara itu. 

Pengurus kilang, Taing Aung, yang menjadi saksi berkata dia sedang berbual dengan dengan Sein Win apabila ada pekerjanya tiba-tiba datang menyimbah gasolin ke tubuh mangsa sebelum menyalakan api.

Api kemudian marak membakar seluruh badan Sein Win namun berjaya dipadamkan dengan bantuan Taing Aung dan rakan-rakan yang lain.

Sein Win kemudian dikejarkan ke Hospital Besar Monywa namun disahkan meninggal dunia. 

Menurut Taing Aung, Sein Win mengalami kecederaan teruk hampir di seluruh badan terutama di bahagian kedua-dua belah kaki, tangan dan kepala.

“Mukanya bertukar jadi hitam. Kulit pada kaki dan tangannya juga melecur teruk,” katanya.

Sementara itu polis memaklumkan suspek dikenali sebagai Aung Ko dan setakat ini dia masih bebas. Motif serangan tersebut pula belum dapat dipastikan.

Sein Win aktif dalam politik sejak kebangkitan penyokong prodemokrasi Myanmar pada 1988 dan berkempen Liga Demokrasi Kebangsaan dalam pilihan raya umum 1990.

Yakin ada sinar di depan

Menurut anak perempuannya, Thin Thin Nwe, aktiviti politik orang tuanya itu mendatangkan kemudaratan kepada mereka sekeluarga termasuk tiga anaknya yang sudah dewasa.

“Tiada seorang pun daripada kami pernah memohon kerja yang memerlukan dokumen atau rujukan daripada pentadbir atau polis,” sambil menjelaskan rejim mendiskriminasi sesiapa yang diketahui menentang pemerintahan.

Namun, katanya, dia memahami kedudukan bapanya itu kerana dia sering berkongsi pandangan politik serta mendidik mereka mengenai sifat-sifat diktator.

“Dia yakin revolusi akan menang. Dia dapat rasakan ada sinar harapan di negara ini, begitu juga kami.

"Tapi saya amat sedih kerana bapa saya tidak lagi dapat menyaksikan kejayaan kami,” katanya.

Setakat ini, sekurang-kurang sembilan rakyat, termasuk penyair Kay Za Win dan penulis Kyi Lin Aye dibunuh secara kejam dalam usaha menyekat tindakan menyalahi undang-undang ke atas penunjuk perasaan antikudeta di Monywa.

Penyair yang berpangkalan di Monywa, Khet Thi meninggal dunia dalam tahanan rejim sehari selepas dia ditangkap di Shwebo, sebuah bandar lain di Sagaing kira-kira 100km dari Monywa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan