Polis siasat dakwaan Ahli Parlimen Batu Pahat ‘kenduri durian’ di dusun

FMT Reporters

Tangkap layar video yang tular di Facebook mendakwa Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Kasnon ‘kenduri durian’ di sebuah kebun dipercayai di Batu Pahat, Ahad lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon bersama beberapa individu lain melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana menikmati durian di sebuah kebun dipercayai di Batu Pahat, Johor seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah, berkata, satu laporan polis sudah dibuat berhubung video tular di media sosial itu dan kertas siasatan sudah dibuka.

“Siasatan dijalankan bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, polis akan memanggil Ahli Parlimen itu dan beberapa individu lain yang terlibat dalam video berkenaan untuk membantu siasatan.

Katanya, orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Sementara itu, menurut laporan Malaysiakini, Rashid yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat menafikan dakwaan dia melanggar SOP PKP kerana menghadiri “kenduri durian” baru-baru ini.

Sebaliknya Rashid berkata, rakaman itu adalah video lama sebelum PKP, iaitu tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa warganet mendakwa video tersebut merupakan kejadian baharu berdasarkan gambar Rashid di satu majlis di Batu Pahat, Ahad lalu.

Rakaman video berdurasi 15 saat itu tular di Facebook dan mendapat kecaman warganet

Tiada ulasan:

Catat Ulasan