Remaja setinggi 2.26m jadi harapan
Agensi
KETINGGIAN luar biasa Zhang Ziyu berbanding remaja lain.
Beijing: Seorang remaja perempuan menarik perhatian ketika bermain bola keranjang kerana ketinggian luar biasa berbanding rakan sebaya.
Zhang Ziyu, 14, dari Shandong di China memiliki ketinggian 2.26 meter (m) berbanding pemain bola keranjang legenda negara itu, Yao Ming.
Menerusi foto dan video sejak minggu lalu, Zhang Ziyu kelihatan lebih tinggi berbanding rakan sebayanya ketika satu perlawanan.
Dalam perlawanan di Jingzhou itu, Zhang mengumpul 42 mata secara keseluruhan.
Media China melaporkan ibu bapa remaja itu adalah pemain bola keranjang profesional.
Namun ketinggian dimiliki anak pasangan itu ternyata mengejutkan ramai pihak dengan mengambil kira usianya.
Bapa remaja itu memiliki ketinggian 2.1 m manakala ibunya 1.98m.
Global Times melaporkan ketinggian Zhang mencecah 1.6m ketika tahun satu dan ia meningkat kepada 2.1m, lima tahun kemudian.
Pada usia 14 tahun, ketinggiannya juga sudah hampir mencapai tinggi legenda bola keranjang China, Yao Ming yang memiliki ketinggian 2.29m.
"Dengan ketinggian ini, Zhang diharap dapat meningkatkan kebolehan dan kemahiran dalam bola keranjang," kata peminat dalam komen di Weibo.
Dia adalah pemain pelapis bola keranjang untuk China, kata seorang lagi peminat sukan itu.
Zhang mula bermain bola keranjang sejak berusia lima tahun dan menjalani latihan dengan bimbingan ibu bapanya.
Pakar sukan bersetuju Zhang mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan bola keranjang.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan