SABKI YUSOF
Di awal Januari, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menasihatkan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) untuk satu pengisytiharan darurat atas alasan menangani Covid-19. Hakikatnya, pada masa itu Kerajaan PN berada dalam keadaan seperti ‘telur dihujung tanduk’ setelah Umno menimbangkan untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, pada Januari 12, 2021, YDPA telah memperkenan proklamasi darurat dan diisytiharkan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021.
Setelah pengisytiharan darurat, kerajaan PN masih gagal menguruskan pandemik, ekonomi dan kemaslahatan rakyat. Kes makin meningkat, kematian bertambah setiap hari, rakyat dikurung dalam lockdown, hilang kerja dan sumber pendapatan, dan ramai yang bunuh diri. Anak-anak sekolah tidak dapat pendidikan dengan sempurna.
Di media sosial, rakyat mengadu nasib kepada YDPA dan merayu diberi perhatian pada nasib rakyat.
Prihatin dengan rayuan rakyat Malaysia, pada 16 Jun 2021, YDPA telah memanggil satu perbincangan khas di kalangan Raja-Raja Melayu. Sebelum itu pada 9 Jun 2021, YDPA juga telah mula memanggil menghadap pemimpin-pemimpin parti politik dan beberapa pihak dan individu berkaitan untuk mengambil pandangan.
Seusai mesyuarat, pada malamnya, Istana Negara mengeluarkan satu perutusan media yang cukup jelas dan tegas untuk disampaikan kepada kerajaan dan rakyat.
Antara kandungan penting adalah di para ke-2 perutusan itu yang menyebut “Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.”
Dengan jelas YDPA menitahkan kerajaan untuk segera mengadakan sidang Parlimen bagi membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Ini selaras dengan peruntukan Artikel 150(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu,…”
Ternyata YDPA telah bertitah bersandarkan peruntukan perundangan yang tepat demi memastikan isu-isu yang terkait dengan kepentingan rakyat dibentang dan dibahaskan oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen.
Malangnya, kerajaan mengambil sikap dingin terhadap titah YDPA. Beberapa insiden dan kenyataan media Kerajaan PN menunjukkan sikap acuh tak acuh sehinggakan Speaker dan Timbalan Speaker dipanggil menghadap ke bawah duli Seri Paduka Baginda pada 28 Jun 2021.
Hanya pada 5 Julai 2021 Kerajaan PN mengumumkan tarikh Mesyuarat Khas Parlimen akan diadakan pada 26 Julai 2021. Keputusan ini dibuat pada hari terakhir dalam tempoh 14 hari yang diberikan Umno yang mendesak Kerajaan PN untuk segera menetapkan tarikh sidang Parlimen. Ternyata keputusan ini dibuat Kerajaan PN dalam keadaan terdesak kerana sekali lagi takut hilang sokongan dari Umno.
Kerajaan PN berusaha mengelakkan dari membentang dan membahaskan ordinan darurat di Parlimen kerana bimbang pihak kerajaan gagal mendapat sokongan majoriti semasa undian sekaligus membangkitkan persoalan legitimasi Kerajaan PN. Sedangkan sidang itu penting untuk wakil-wakil rakyat membahaskan isu-isu yang terkait kepentingan rakyat pada waktu krisis ini.
Bagi mengelakkan pembentangan ordinan-ordinan darurat, Kerajaan PN menetapkan Mesyuarat Khas itu dibuat di bawah peraturan mesyuarat 11(3), di mana Perdana Menteri mempunyai prerogatif untuk memanggil sidang khas dan menetapkan urusan mesyuarat. Maka tiada aturan ditetapkan untuk pembentangan dan perbahasan ordinan-ordinan darurat seperti dititahkan oleh YDPA dalam perutusan Seri Paduka Baginda pada 16 Jun 2021.
Tidak cukup dengan itu, sebagai persediaan lanjut untuk mengelakkan pembentangan dan perbahasan proklamasi dan ordinan darurat, Kerajaan PN mengambil satu tindakan terdesak membatalkan kesemua ordinan-ordinan darurat pada 21 Julai 2021, beberapa hari sebelum Parlimen bermesyuarat.
Secara tiba-tiba di hari pertama Mesyuarat Khas Parlimen, Menteri Undang-Undang mengumumkan kesemua 6 ordinan darurat telah dibatalkan. Malangnya, apabila ditanya samada pembatalan itu telah mendapat perkenan YDPA, Menteri gagal menjawab.
Sekali lagi pengumuman pembatalan darurat ini jelas membelakangkan kedudukan institusi YDPA dan mengelirukan Parlimen.
Akhirnya Kerajaan PN berselindung di belakang Speaker Dewan Rakyat yang menangguhkan jawapan Menteri (sama ada pembatalan ordinan darurat sudah mendapat perkenan YDPA atau tidak) untuk dijawab pada hari Isnin 2 Ogos 2021.
Tentunya pada Isnin nanti, jawapan Kerajaan PN bahawa tiada lagi keperluan perkenan dari YDPA kerana proklamasi darurat telah tamat pada 1 Ogos 2021, dan soalan pembangkang sudah bersifat akademik.
Begitulah kelam-kabut Kerajaan PN yang hidupnya sentiasa dalam kebimbangan kehilangan kuasa dan fokus Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya adalah bagaimana untuk terus mempertahankan kuasa. Yang terabai adalah rakyat dan negara.
Dalam proses itu, Kerajaan PN telah mempermainkan kedaulatan perlembagaan dan undang-undang, meremehkan institusi Parlimen dan sistem demokrasi negara, malah gagal setia dan patuh pada institusi Raja-Raja Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan