Al-Abror Mohd Yusuf
Dari semasa ke semasa, ada saja hal-hal 'gelap' disuapkan kepada kita dengan bersahaja, lalu ia menerima dengan hati yang lapang dan jiwa yang tenang.
Antara wadah yang digunakan ialah seni lagu. Disulam dengan irama lunak, seni kata disusun dengan bijak untuk berkisah mengenai hal-hal 'gelap' secara santai.
Ia ada kaitan berkait dengan norma atau budaya semasa. Semasa karya itu dihasilkan, ia mungkin tidak bercanggah dengan kehendak atau kepercayaan ramai, namun kemudian berubah pada masa kemudian.
Pun begitu, ketika keadaan dan waktu yang berbeza, kejanggalan itu tetaplah diterima ramai dengan senang hati kerana sangkaan-sangkaan baik kepada era terdahulu.
Justeru kisah curang seorang wanita, misalnya, dapat disajikan dengan bersahaja melalui lagu mengasyikkan.
'Kegelapan' kisah di sebalik karya itu hanya boleh disedari apabila kata-kata yang diucapkan didengar dan diteliti bersama akal yang jelas. Kalau tidak, maka seseorang itu mungkin akan berdendang dengan kebodohan sambil menyangka dia cukup cerdik dengan seni.
Malangnya kepandiran itu bukan saja terhidang dalam seni lagu. Politik pun samalah. Iramanya selalu menggunakan genre nasionalisme, manakala liriknya bertemakan perkauman. Korusnya: agama.
Hasilnya ialah kekalutan yang sedang kita hadap sekarang. Dan itu bukanlah khabar paling malang untuk negara ini.
Dibela dengan hujah loyar buruk
Irama politik gelap sekarang semakin diterima - secara relatif - oleh ramai walaupun tidak dinafikan kecerdikan manusia yang ada juga bertambah. Tambahan pula pemain politik gelap itu tahu, pembohongan yang diulang-ulang berpotensi besar untuk diterima sebagai sesuatu yang benar.
Ia akan menjadi lebih tegar apabila ia dilakukan ketika seseorang - atau kelompok - itu masih terbuai dengan euforia kuasa. Maklumlah, tidak pernah bertakhta di Putrajaya, misalnya.
Atau sudah sekian lama bercokol dengan kelebihan itu ini yang dibiayai rakyat tetapi tiba-tiba tercampak dari kerusi empuk masing-masing. Ia memang pengalaman menyakitkan.
Sebaik saja kuasa itu dapat digenggam, mereka menggigitnya dengan geraham masing-masing.
Justeru kita menyaksikan angka kes harian Covid-19 yang menggerunkan itu ditanggap dengan selamba, malah kadang-kadang dibela dengan hujah 'loyar buruk'. Bukan calang-calang punya buruk.
Ketika rakyat bergelut waima untuk bernafas, ada orang berkuasa boleh menghirup udara dingin lagi segar di Paris, atau membawa rombongan ke luar negara atas tajuk urusan kerja rasmi.
Dan mereka menganggap "rakyat saya" masih tidak perlu terlalu bimbang apa-apa kerana jika kesesakan, carilah pejabat ahli parlimen atau Adun masing-masing untuk mengadu.
Lebih afdal, angkatlah tangan.
Meminta bantuan kini ditakrifkan sebagai indikator kegagalan menguruskan takwa dan mereka memonopoli hal-hal langit. Tidak ada sesiapa berhak memberikan makna kecuali 'mereka dan keluarga mereka' saja.
Pemimpin menayang kemewahan
Sementara itu di sisi lain darurat yang dialami rakyat dibawah boleh saja dilabel sebagai aksi lagak ngeri. Hidup dalam penafian dan euforia kuasa sememangnya teramat sedap.
Tapi kita harus bertenang kerana itu mungkin petanda awal untuk seseorang bakal mendapat kenaikan pangkat dalam kerajaan dan dilonggokkan dengan pelbagai kelebihan baru.
Sesekali apabila melihat apa yang berlaku sekarang, kerajaan boleh saja melakukan penjimatan besar - jika mahu - dengan menutup kementerian tertentu apabila tugas mereka sudah dilaksanakan oleh rakyat di bawah ini.
Mengagihkan bantuan kepada orang yang memerlukan, misalnya.
Tapi itulah, selain perlu ada kemahuan, kerajaan juga perlu ada rasa malu. Ia adalah aspek yang sangat penting dalam hidup manusia. Jika tidak, masakan nabi berpesah bahawa malu itu sebahagian daripada pecahan iman. Nabi tidak mengaitkan malu dengan harta benda, rumah, masjid atau waima nyawa. Tapi iman.
Sesungguhnya perjuangan memartabatkan negara dan membela manusia menjadi amat sukar ketika pihak yang tergelincir itu tidak memiliki rasa malu walaupun sedikit.
Dengan adanya malu, seseorang pemimpin tidak akan tergamak menayang-nayang kemewahan, atau menunjuk-nunjuk percutian di luar negara. Lebih daripada itu, mereka tidak akan rela menjilat ludah sendiri.
Kalau ada malulah.
Kepada umat Islam, hanya beberapa hari lagi akan tiba detik yang sangat bermakna. Bukan Aidiladha, tapi hari sebelumnya. Jika di tanah suci, jemaah haji akan berkumpul di Arafah.
Muslim di tempat selain Arafah disunatkan berpuasa. Ia bukanlah aksi lagak ngeri tetapi pengabdian mutlak kepada Maha Pencipta yang Maha Mendengar.
Nah, mari angkat tangan beramai-ramai dan mengadu kepada Dia. Mengadu sungguh-sungguh dan biarkan Dia menentukan hukuman ke atas mana-mana pihak yang menyusahkan rakyat sekarang.
Kita berdoa agar negara ini dapat diselamatkan daripada mana-mana orang gila.
Pada 1988 kumpulan Wings ada menerbitkan sebuah lagu, Hukum Karma. Antara lain liriknya begini:
Gila darjat
gila nama
gila kuasa
gila harta...
Semua gila!
Siapa yang gila? Carilah sendiri. Buka hati dan teliti. Cuma jangan lupa: orang gila tidak akan mengaku dirinya gila. Menuduh orang lain sebagai gila, mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan